Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menyifatkan pewujudan hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Holy See dan seterusnya, penubuhan Kedutaan Besar Malaysia di Holy See sebagai pencapaian yang penting dalam diplomasi antarabangsa Malaysia.

Menurut beliau, sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963, negara ini telah berkembang pesat dari segi pembangunan ekonomi serta sosial.

Perkembangan positif ini telah diteruskan semenjak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan pada tahun 2009.

Hal itu dinyatakan ketika perasmian Kedutaan Besar Malaysia ke Holy See pada Selasa, 11 bulan selepas Duta Besar Malaysia ke Holy See, Tan Sri Bernard Giluk Dompok menyampaikan watikah pelantikan beliau kepada Pope Francis.

Acara perasmian tersebut telah dihadiri oleh lebih-kurang 100 jemputan termasuk Timbalan Menteri Dalam Negeri Holy See, Ketua Protokol Holy See, Dekan Kor Diplomatik ke Holy See dan beberapa ahli Kor Diplomatik ke Holy See.

Melalui program Program Transformasi Kerajaan dan Negara, Malaysia telah mengambil peluang dalam menyumbang ke arah mengetengahkan inisiatif global dalam membentuk keamanan dan keharmonian sejagat.

Datuk Seri Mohd Najib Razak, dalam ucapan ulung beliau semasa sesi ke-65 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, telah mencadangkan inisiatif Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) untuk bekerjasama dalam menghadapi cabaran-cabaran semasa.

"Salah satu daripada keputusan untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Holy See adalah berdasarkan inisiatif GMM. Ini kerana Malaysia dan Vatican banyak berkongsi pendirian yang sama dalam pelbagai isu sosial.

"Oleh itu, Malaysia berharap dapat bekerjasama dengan pihak Vatican dalam isu-isu berkepentingan bersama," kata Wisma Putra dalam satu kenyataan, hari ini.

Tan Sri Bernard yang juga merupakan Duta Besar Malaysia yang pertama ke Holy See, berkata bahawa penubuhan Kedutaan Malaysia di Rom dan pelantikan sebagai Duta Besar merupakan satu penghormatan yang besar bagi beliau.

Beliau telah terlibat di dalam perbincangan peringkat awal sebelum penubuhan hubungan diplomatik iaitu semasa beliau berkhidmat sebagai Menteri Kabinet.

Di samping itu, beliau turut menyatakan bahawa terdapat banyak ruang untuk meperluas kerjasama dengan pihak Vatican, terutamanya dalam isu-isu pendidikan dan sosial.

Beliau berharap agar inisiatif untuk bekerjasama dalam pendidikan serta dalam dialog diantara agama dapat dipertingkatkan lagi di antara Malaysia dan Holy See.