KUALA LUMPUR: Dalam fasa yang akan datang, hubungan dua hala Mesir-Malaysia harus menumpukan kepada beberapa sektor dan bidang kerjasama yang berpotensi termasuk pelancongan, perdagangan dan pelaburan terutamanya dalam minyak sawit dan perkayuan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Teknologi Kewangan (FinTech) dan perkhidmatan kesihatan, kata Menteri Luar Mesir Sameh Hassan Shoukry.

Sameh Shoukry berkata Malaysia merupakan negara maju dalam ICT dan sedang menuju ke arah menjadi hab digital serantau di Asia Tenggara.

"Terdapat potensi besar kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang ini, memandangkan transformasi digital adalah keutamaan yang tinggi untuk Mesir, dan menawarkan peluang unik untuk mengubah beberapa sektor ekonomi seperti perkhidmatan kewangan, peruncitan, penjagaan kesihatan, pertanian dan pembuatan, di samping mencipta peluang untuk individu dan perusahaan serta memberi kesan kepada pembangunan inklusif dan pertumbuhan ekonomi," katanya.

Sameh Shoukry berkata demikian dalam jawapan temubual bertulis dengan Bernama sempena lawatannya ke Malaysia baru-baru ini. Menteri itu mengadakan lawatan sulung tiga hari ke Malaysia mulai 14 Mac bertujuan membina momentum hubungan teguh antara kedua-dua negara.

Mesir merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia di Afrika Utara. Pada 2021, jumlah perdagangan Malaysia-Mesir bernilai RM3.8 bilion (US$904.1 juta), peningkatan ketara sebanyak 84.5 peratus, berbanding nilai yang direkodkan pada 2020.

Sameh Shoukry berkata selain itu, perubahan iklim dan pelbagai sektor yang berkaitan dengan ekonomi hijau juga antara sektor kerjasama yang berpotensi, terutamanya ketika Mesir bakal menjadi tuan rumah Sesi Ke-27 Persidangan Pihak-Pihak (COP) ke-27 bagi Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim ( UNFCCC) di bandar peranginan Laut Merah Sharm El Sheikh pada November 2022.

Menjawab pertanyaan lain mengenai prospek masa depan hubungan Kaherah-Kuala Lumpur, Sameh Shoukry menyebut beliau berbangga untuk mengatakan bahawa prospek hubungan dua hala antara Mesir dan Malaysia adalah sangat terjamin.

Menurut beliau, ia berikutan momentum positif yang disaksikan menerusi perbincangan dua hala pada tahun lalu antara beliau dan Menteri Luar Malaysia ketika itu (kini Menteri Pertahanan Kanan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semasa lawatannya ke Kaherah pada Jun 2021.

Sebelum pertemuan kedua-dua Menteri Luar, Presiden Mesir Abdel-Fatah al-Sissi dan Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin telahpun mengadakan perbincangan dalam sesi sidang video yang menjadi inisiatif penting untuk pemimpin kedua-dua negara membincangkan langkah bagi meneruskan hubungan dua hala.

Menteri Mesir itu berkata semasa lawatan Hishammuddin ke Kaherah, kedua-dua pihak sepakat mengenai pelan hala tuju ke arah meningkatkan hubungan dua hala. Sehubungan itu, perundingan politik antara kedua-dua negara diadakan di Kaherah pada 30 Januari 2022.

Menteri Mesir itu menyifatkan lawatannya ke Malaysia sebagai "lawatan bersejarah" dalam hubungan dua hala, berikutan pertemuan yang berjaya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beberapa menteri lain.

Sameh Shoukry menegaskan bahawa hubungan antara Mesir dan Malaysia sememangnya bersejarah dan sudah lama terjalin.

Menurutnya meskipun hubungan diplomatik rasmi bermula pada 1959, hubungan antara rakyat sudahpun terjalin beberapa dekad lebih awal pada 1930-an dengan kemasukan berterusan golongan ilmuan dan cendekiawan Melayu muda, yang dihantar ke Universiti Al-Azhar untuk menerima pendidikan agama.

"Al Azhar Al Sharief sentiasa diiktiraf oleh cendekiawan Malaysia sebagai "penyuluh Islam sederhana", dan universitinya sebagai "pusat tumpuan dan pengajaran serta pembelajaran Islam global", katanya.

Sameh Shoukry berkata bilangan pelajar Malaysia yang belajar di Mesir terus meningkat sejak beberapa tahun lalu, dan kini terdapat lebih 7,000 pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir, dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, farmasi, pergigian dan bidang penyelidikan saintifik yang lain.

-- BERNAMA