MALAYSIA
Hubungan Malaysia-China terjalin atas kepercayaan berterusan – PM Anwar

ANWAR: Setiap pertemuan yang berlaku terus mengangkat kesefahaman di antara dua negara ini. Saiznya berbeza, tetapi rasa hormatnya tetap sama, yang saya boleh berbicara dengan terbuka dan konsisten. -Foto Bernama
TIANJIN: Hubungan diplomatik Malaysia dan China yang erat dengan usia melebihi separuh abad sejak ia terjalin adalah bergantung kepada asas yang kukuh, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Hubungan diplomatik Malaysia-China yang terjalin sejak 1974 dibina atas keyakinan dan kini berkembang menjadi kepercayaan kukuh serta saling menghormati.
- Kerjasama praktikal antara kedua-dua negara merangkumi infrastruktur, tenaga hijau, ekonomi digital dan perjalanan bebas visa secara timbal balik.
- Malaysia mencadangkan prinsip kedaulatan dalam kebergantungan sebagai pendekatan Asia untuk kekal berdaulat sambil terbuka kepada perdagangan dan teknologi demi kestabilan dan kemakmuran serantau.
Selepas 51 tahun, Perdana Menteri berkata, keyakinan itu telah berubah menjadi kepercayaan yang berterusan.
“Tiga pertemuan yang saya adakan dengan President Xi - dengan terbaharu sewaktu lawatan rasmi beliau ke Kuala Lumpur pada April lepas – adalah penerusan kepada perjalanan yang panjang itu.
“Setiap pertemuan yang berlaku terus mengangkat kesefahaman di antara dua negara ini. Saiznya berbeza, tetapi rasa hormatnya tetap sama, yang saya boleh berbicara dengan terbuka dan konsisten,” kata Anwar.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umum bertajuk "Sovereign Interdependence: Building A Shared Future in Asia" di Universiti Tianjin, China, pada Isnin.
Lawatan beliau selama empat hari bermula Ahad di Tianjin dan Beijing adalah atas jemputan Presiden China, Xi Jinping.
Kemuncak program adalah penyertaan beliau dalam Sidang Kemuncak Organisasi Kerjasama Shanghai (SCO) serta majlis memperingati ulang tahun ke-80 kemenangan perang rakyat China menentang pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kepercayaan yang terjalin di antara Malaysia dan China membolehkan kerjasama yang praktikal bukan sahaja tidak mustahil, malah terus kukuh dan bersemangat.
“Kita melihatnya dalam infrastruktur berkualiti tinggi yang mempercepatkan hubungan perdagangan kita, perkembangan kerjasama dalam tenaga hijau dan ekonomi digital, serta langkah-langkah kecil tetapi bermakna yang menyentuh kehidupan seharian, seperti pelaksanaan perjalanan bebas visa secara timbal balik.
“Apa yang memberikan mengukuhkan hubungan ini ialah keyakinan, walaupun dalam masa yang tidak menentu, kedua-dua negara tetap setia antara satu sama lain.
"Dan dalam saat-saat bergelora inilah kestabilan seperti ini paling penting,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Anwar berkata, melihat kepada ketidakstabilan ekonomi global ketika ini, Malaysia mencadangkan agar Asia mengguna pakai prinsip kedaulatan dalam kebergantungan (sovereign interdependence).
“Inilah seni untuk berdiri teguh tanpa terasing. Ia adalah keyakinan bahawa sesebuah negara boleh kekal sepenuhnya menjadi diri sendiri – berdaulat dalam pilihan, suara, dan takdir – sambil tetap terbuka kepada aliran perdagangan dan pelaburan, bakat dan teknologi, yang menjadi asas kepada kemakmuran.
“Ia adalah kepercayaan bahawa kebebasan dan saling kebergantungan bukanlah bertentangan, tetapi saling melengkapi,” tambah Anwar.
Perdana Menteri berkata, konsep kedaulatan dalam kebergantungan tidak seharusnya membuat negara-negara berasa takut bahawa autonomi mereka akan terhakis.
Sebaliknya, beliau menegaskan, ia harus memberi keyakinan bahawa dengan saling berhubung, daya tahan mereka akan menjadi lebih kukuh dan utuh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami