Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan hubungan diplomatik antara pemimpin Malaysia dan Turki kini berada pada tahap "amat luar biasa".

Mengakhiri lawatan kerjanya pada Ahad selepas berada di negara ini selama empat hari, Timbalan Perdana Menteri berkata hubungan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Tukrki Recep Tayyip Erdogan berada pada landasan istimewa apabila sering kali suara Malaysia dalam setiap perkara diberi pengiktirafan sewajarnya oleh Turki.

"Hubungan istimewa Malaysia dan Turki yang amat luar biasa ini bukan hanya terjelma daripada sambutan positif Presiden Erdogan terhadap beberapa saranan Malaysia di dalam penyelesaian isu-isu sejagat dan serantau tetapi hubungan peribadi beliau yang amat akrab dengan Perdana Menteri (Najib) turut dijalin dan diuruskan apabila saya sendiri menemui Presiden Erdogan dalam pertemuan tertutup.

"Mudah-mudahan hubungan yang baik ini dipererat dan diperkasakan dalam waktu-waktu mendatang ini," kata Ahmad Zahid kepada media Malaysia bagi merumuskan lawatannya ke Turki.

Timbalan Perdana Menteri berada di sini bagi mewakili Najib untuk mengetuai delegasi Malaysia pada Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) yang berlangsung di sini.

Sepanjang tempoh lawatan di sini, Ahmad Zahid juga berkesempatan mengadakan pertemuan tertutup dengan Presiden Erdogan bagi berbincang beberapa isu dan perkara yang menyentuh kepentingan bersama kedua-dua negara.

"Antara yang kita bersetuju ialah penubuhan kampus cawangan universiti swasta di Turki iaitu Universiti Ibn Haldun di Malaysia," kata beliau yang turut berkesempatan berkunjung ke universiti itu dalam lawatan kerjanya kali ini.

Menurutnya universiti itu yang akan beroperasi bermula 1 Jan 2018 akan mengambil alih Universiti Antarabangsa Al Bukhary di Alor Setar, Kedah dengan memperkenalkan beberapa kursus menjurus kepada teknikal dan teknologi seperti kursus kejuruteraan, pertahanan dan penerbangan.

Ahmad Zahid berkata penubuhan itu telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dan bakal menyaksikan pengambilan pelajar luar negara dan tempatan pada nisbah 80:20.

"Kita melihat Turki mempunyai kemahiran untuk mengeluarkan graduan dalam bidang-bidang ini dan negara itu boleh menjayakan pemindahan pengetahuan yang mampu menguntungkan pelajar-pelajar Malaysia," katanya.

Ahmad Zahid berkata Turki telah melantik seorang calon sebagai rektor universiti itu dan tenaga pengajar universiti juga terdiri daripada gabungan pelbagai negara termasuk daripada Turki dan Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan Turki gigih bagi memastikan kejayaan universiti itu apabila Presiden Erdogan sendiri dijadual akan merasmikannya semasa pemimpin itu menghadiri Dialog Keselamatan Putrajaya pada 5 dan 6 Jan tahun depan.

Beliau berkata selain itu Turki turut memohon untuk menubuhkan Yayasan Maarif yang bakal mempromosikan kerjasama pendidikan kedua-dua negara.

Ahmad Zahid berkata melalui yayasan itu Turki akan menawarkan biasiswa kepada pelajar Malaysia yang mahu menyambung pelajaran ke negara itu dalam bidang-bidang tertentu khususnya Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Turki juga akan bekerjasama dalam bidang kebudayaan menerusi Institut Yunus Emre bagi mempromosikan kebudayaan, kesenian dan ketamadunan antara dua negara' katanya.

Berhubung hasil sidang kemuncak D-8 kali ini yang dipengerusikan oleh Turki, Ahmad Zahid berkata Turki dan Malaysia berjaya membangkitkan isu kemanusiaan melibatkan pelarian Rohingya yang kini berlindung di Kem Pelarian Kutupalong di Cox's Bazar, Bangladesh.

Katanya selain komitmen Malaysia, Turki turut berjanji memberi bantuan segera dengan membina hospital, khemah selain bantuan makanan dan pakaian.

Menurutnya Malaysia dan Turki juga secara bersama akan mendapatkan kerjasama negara-negara lain bagi membolehkan satu resolusi dipersetujui di peringkat antarabangsa untuk mendesak Myanmar menerima kembali pelarian Rohingya dan membenarkan mereka menjalani kehidupan sepetri biasa di tanah kelahiran mereka.

Beliau juga berkata Malaysia akan memberi keutamaan kepada kumpulan negara anggota D-8 apabila Malaysia bakal mengetuai sekretariat D-8 setelah bekas Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari menyandang jawatan Setiausaha Agung D-8 baharu mulai 1 Jan 2018.

"Setelah persidangan kemuncak D-8 ini tidak diadakan sejak lima tahun yang lepas, ia bakal menjadi persidangan yang dinanti-nantikan oleh negara-negara anggota," kata Ahmad Zahid yang optimis lebih banyak lagi negara-negara membangun akan menyertai kumpulan itu apabila cadangan untuk membuka keahlian kepada negara-negara lain diterima bagi membolehkan jalinan kerjasama ekonomi dan perdagangan diperhebatkan.

-- BERNAMA