Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerima cadangan UMNO untuk menubuhkan jawatankuasa teknikal hudud peringkat kebangsaan sebelum mengemuka rang undang-undang persendirian untuk membolehkan Kelantan melaksana Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993.

Nik Aziz bagaimanapun enggan campur tangan dalam urusan teknikal melibatkan pelaksanaan enakmen tersebut biarpun mengakui pelaksanaannya memerlukan jawatankuasa teknikal.

“Masalah teknikal bukan kerja saya, saya hanya sebut masalah dasar, bagaimana dasar ini hendak dilaksanakan, ia perlu kepada teknikal.

“Saya tidak suka masuk campur dalam urusan teknikal, terserah kepada pihak berkenaan tapi saya menyambut baik cadangan itu, saya gembira kerana hudud yang dulunya ditentang, kini diterima,” Nik Aziz dilaporkan sebagai berkata oleh Sinar Harian.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung cadangan UMNO mewujudkan sebuah jawatankuasa teknikal mengenai hudud di peringkat kebangsaan.

Nik Aziz dilaporkan berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di pejabatnya di Institut Pemikiran Tok Guru di sini, semalam.

Muhyiddin dalam lawatan kerja sehari ke Kelantan pada Ahad lalu berkata, jawatankuasa itu akan disertai golongan yang arif mengenai hukum hudud termasuk pakar hukum agama daripada luar negara.

Mengulas pertemuan bersama Asyraf Wajdi, Nik Aziz berkata, beberapa perkara telah dirungkaikan dan mendapat maklum balas positif daripada Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu, tambahan pula beliau antara orang pertama menganggotai jawatankuasa agama (Yadim) di awal penubuhannya dahulu.