Hujan lebat yang turun pada petang Khamis menyebabkan empat kawasan di sekitar George Town, Pulau Pinang dinaiki air.

Hujan yang turun selama sejam sejak jam 4:00 petang tadi menyebabkan kawasan antaranya Kampung Dodol, Lintang P Ramlee, Jalan P Ramlee dan Kampung Masjid dinaiki air antara 0.1 hingga 0.3 meter.

Menurut Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, kira-kira 25 buah rumah yang berada di kawasan rendah dimasuki air.

Bagaimanapun katanya, tiada pemindahan mangsa dilakukan.

Seorang penduduk, Hasmah Sahibu berkata, hujan yang turun dengan lebat menyebabkan air naik dengan sangat cepat sehingga memasuki rumah mereka.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Fadzil Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6 petang berhubung kejadian banjir di beberapa lokasi di George Town.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, air sedang melimpah di atas jalan raya sehingga memasuki rumah penduduk namun keadaan terkawal..

"Kami telah pun memaklumkan kepada penduduk supaya hati-hati dan waspada selalu dan menjelang awal Ramadan penduduk kena beri perhatian jika ada kecemasan dan tunggu arahan daripada pihak berkuasa untuk kerja menyelamat.

"Anggota bomba sentiasa siap sedia setiap masa terima panggilan kecemasan untuk beri bantuan kepada penduduk supaya tidak perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Bagaimanapun pihaknya akan memantau situasi bagi memastikan keadaan tidak merbahaya kepada penduduk.

Pada masa yang sama, beliau turut menasihatkan penduduk supaya berhati-hati dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa.