Skip to main content

Dunia

Gabungan parti pemerintah peroleh majoriti tipis dalam pilihan raya umum New Zealand

Christopher Luxon berkata keputusan pilihan raya itu "terlalu sengit untuk ditentukan", dengan keputusan akhir bergantung kepada undi khas yang bakal dikira. - Foto fail/REUTERS
Christopher Luxon berkata keputusan pilihan raya itu "terlalu sengit untuk ditentukan", dengan keputusan akhir bergantung kepada undi khas yang bakal dikira. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

ISLAMABAD: Gabungan parti pemerintah memperoleh majoriti tipis dalam Pilihan Raya Umum New Zealand, meskipun keputusan muktamad masih bergantung kepada kiraan undi khas, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan pada Ahad.

Gabungan diterajui Parti Nasional itu meraih 67 daripada 131 kerusi Parlimen, sekali gus memperoleh majoriti tipis untuk terus mentadbir negara berkenaan bagi penggal kedua berturut-turut, lapor akhbar harian berbahasa Inggeris tempatan, NZ Herald.

Blok pembangkang yang dianggotai Parti Buruh, Parti Hijau dan Parti Maori pula memenangi 57 kerusi.

Advertisement

Walaupun gabungan parti pemerintah dilihat berada di landasan tepat untuk membentuk kerajaan bagi penggal kedua tiga tahun, proses pengiraan undi khas - yang lazimnya memihak kepada blok sayap kiri - masih belum selesai.

Sebuah parti atau gabungan memerlukan sekurang-kurangnya 66 kerusi bagi menjamin majoriti di Parlimen.

Advertisement

Keputusan itu masih boleh berubah apabila kira-kira 700,000 undi khas dikira kelak. Undi ini melibatkan kertas undi daripada pengundi luar negara serta individu yang mengundi di luar kawasan pilihan raya masing-masing, yang tidak dimasukkan dalam keputusan awal.

Suruhanjaya Pilihan Raya dijadual mengumumkan keputusan rasmi akhir, termasuk undi khas, pada 27 Nov ini.

Persaingan antara Parti National dan Parti Buruh kekal amat sengit, dengan masing-masing meraih lebih 29 peratus undi.

Pengiraan oleh suruhanjaya itu di semua pusat mengundi turut menyaksikan pertambahan 11 kerusi gantian, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan kerusi Parlimen daripada 120 kepada 131.

Ketika berucap di hadapan penyokongnya di Auckland, Perdana Menteri Christopher Luxon berkata keputusan pilihan raya itu "terlalu sengit untuk ditentukan", dengan keputusan akhir bergantung kepada undi khas yang bakal dikira.

Beliau berkata "rundingan dan kompromi" amat diperlukan bagi membentuk kerajaan seterusnya.

New Zealand mempunyai hampir 3.8 juta pengundi berdaftar.

Negara ini mengguna pakai sistem perwakilan berkadar campuran (MMP) dalam proses pemilihan Parlimennya. Menerusi sistem ini, pengundi membuang dua undi - satu untuk parti politik dan satu lagi untuk calon kawasan pilihan raya setempat - yang lazimnya membawa kepada pembentukan kerajaan gabungan oleh dua atau lebih parti politik di Parlimen.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement