Skip to main content

Dunia

Bandar Raya Florida tarik balik larangan beri makan haiwan susulan pertikaian jiran

Walaupun pertikaian itu berpunca daripada burung merpati, sekatan berkenaan turut merangkumi iguana dan tikus. - Gambar hiasan
Walaupun pertikaian itu berpunca daripada burung merpati, sekatan berkenaan turut merangkumi iguana dan tikus. - Gambar hiasan
Advertisement

WASHINGTON: Pihak berkuasa di Boca Raton, Florida, Amerika Syarikat (AS) memansuhkan larangan memberi makan kepada iguana, burung merpati dan tikus yang sebelum ini dikuatkuasakan susulan pertikaian berlarutan antara dua jiran, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik dokumen majlis bandar raya itu.

Pertikaian itu bermula apabila seorang wanita tempatan kerap memberi makan kepada burung merpati. 

Jirannya mengadu tindakan berkenaan menarik kehadiran hingga 200 ekor burung ke kawasan sekitar rumahnya, yang didakwa mencemarkan bumbung, kenderaan dan halaman rumahnya. 

Advertisement

Meskipun menerima aduan, wanita itu terus memberi makan kepada burung-burung terbabit.

Malah pada mesyuarat majlis bandar raya, beliau mencabar pihak berkuasa untuk mengenakan saman ke atasnya.

Advertisement

Majlis bandar raya mengundi 3-2 pada 25 Ogos untuk meluluskan ordinan yang melarang penduduk meletakkan makanan dalam kuantiti yang boleh menarik sejumlah besar haiwan.

Walaupun pertikaian itu berpunca daripada burung merpati, sekatan berkenaan turut merangkumi iguana dan tikus. Pesalah berdepan denda sekurang-kurangnya AS$100.

Bagaimanapun, ordinan itu hanya berkuat kuasa selama kurang daripada dua bulan. Pada 13 Okt, majlis bandar raya mengundi 4-1 untuk memansuhkannya, menurut minit mesyuarat yang dilihat oleh RIA Novosti.

Semasa perbincangan, seorang anggota majlis yang pada awalnya menyokong sekatan itu menyuarakan pandangan bahawa peraturan perbandaran tidak wajar digunakan bagi menyelesaikan pertikaian antara individu berjiran.

Datuk Bandar merupakan satu-satunya anggota majlis yang menentang pemansuhan itu.

Beliau mencadangkan kompromi yang membenarkan penduduk terus memberi makan kepada burung merpati sambil mengekalkan sekatan terhadap pemberian makanan kepada iguana dan tikus.

Namun, majlis akhirnya memutuskan untuk memansuhkan keseluruhan ordinan berkenaan.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI 

 

Must Watch Video

Advertisement