Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar kerajaan negeri mengenakan hukuman lebih berat terhadap pihak yang mencemari alam sekitar.

Baginda turut menegaskan kesedaran memelihara alam sekitar perlu dipertingkat dalam kalangan masyarakat terutamanya sumber air Selangor.

“Beta menyeru kepada Kerajaan Negeri Selangor supaya melaksanakan penguatkuasaan yang lebih serius terhadap mereka yang melepaskan sisa-sisa buangan ke sungai.

“Jika perlu, undang-undang hendaklah dibuat untuk mengenakan hukuman yang berat kepada pesalah-pesalah yang mencemarkan sungai-sungai di negeri Selangor,” titah baginda.

Baginda bertitah selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-14.

Baginda turut berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormat oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Dataran Bangunan SUK.

Turut berangkat sama, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor Ke 14 berlangsung bermula hari ini sehingga 29 Mac 2019.