PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati dan penjara sepanjang hayat ke atas 11 banduan yang disabitkan kesalahan mengedar dadah di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Hukuman ke atas tujuh banduan akhir termasuk dua warga Thailand telah digantikan kepada penjara seumur hidup selama 30 tahun manakala empat lagi yang dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat digantikan kepada penjara seumur hidup.

Dua daripada mereka turut dikenakan 12 kali sebatan kerana berusia di bawah 50 tahun.

Panel tiga hakim terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan mendengar permohonan semakan itu dan membenarkan permohonan 11 individu tersebut.

Mereka adalah kumpulan pertama banduan yang permohonan semakan didengar oleh panel Mahkamah Persekutuan hari ini. Sebanyak 14 lagi permohonan semakan akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan pada Khamis.

Tujuh banduan yang terlepas hukuman gantung ialah Teh Hock Leong, 52, Mohd Salleh Yunos, 52, Wan Mazuki Wan Abdullah, 46, Wan Mohd Azman Hassan @ Wan Ali, 50, Nazarrimi Sahib, 46 serta warga Thailand Ouseng- Same-Ae, 54, dan Mama Sobri Useng, 52.

Empat lagi banduan iaitu Zulkipli Arshad, 48, Wan Yuriilhami Wan Yaacob, 60, Ghazalee Kasim, 53, dan Mohamad Junaidi Hussin, 52, telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi berasingan atas kesalahan sama.

Keempat-empat lelaki itu kemudian memfailkan pengampunan kepada Lembaga Pengampunan dan hukuman mati mereka digantikan kepada penjara sepanjang hayat. Mereka kemudiannya memfailkan permohonan semakan ke Mahkamah Persekutuan supaya hukuman sepanjang hayat itu digantikan kepada penjara seumur hidup.

Dalam prosiding hari ini, Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan timbalannya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim yang hadir bagi pihak pendakwaan tidak membantah permohonan semakan itu. Timbalan Pendakwa Raya Aida Khairuleen Azli turut menganggotai pasukan pendakwaan.

Hakim Tun Tengku Maimun memerintahkan kesemua mereka memulakan hukuman penjara seumur hidup masing-masing dari tarikh mereka ditangkap.

Beliau turut mengarahkan Wan Mazuki dan Nazarrimi dikenakan hukuman 12 sebatan setiap seorang. Kesemua 11 banduan itu telah meringkuk dalam penjara antara 21 dan 24 tahun.

Permohonan semakan itu difailkan di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) yang berkuat kuasa pada 12 Sept, lepas, yang memberikan Mahkamah Persekutuan budi bicara untuk menyemak semula kes melibatkan hukuman mati.

Ini susulan penguatkuasaan undang-undang baharu iaitu Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai lepas.

Di bawah undang-undang itu, hukuman mati mandatori bagi kesalahan seperti mengedar dadah dan membunuh telah dihapuskan.

Undang-Undang itu memberi pilihan kepada hakim sama ada mengenakan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, pesalah boleh juga dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali bagi banduan lelaki berusia di bawah 50 tahun.

Kesebelas individu itu masing-masing disabitkan kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamine dan ganja seberat antara 93.7 gram dan 50.65 kg.

Dalam prosiding hari ini, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Guok Ngek Seong mewakili Teh, manakala peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly mewakili Mohd Salleh dan Ghazali Ismail mewakili Wan Marzuki.

Peguam Abdul Rashid Ismail bagi Wan Mohd Azman dan Ouseng-Same-Ae, peguam Anwar Ezzad Zainal bagi Nazarrimi, peguam Cheah Poh Loon mewakili Mama Sobri, Ameerul Aizat Noor Haslan bagi Zulkipli, peguam Muhamad Izwan Ishak bagi Wan Yuriilhami manakala peguam Mohd Hamizi Mohd Yusof mewakili Ghazalee dan Mohamad Junaidi Hussin.

-- BERNAMA