KUALA LUMPUR:Hukuman terhadap pesalah cetak rompak di negara ini masih dianggap sambil lewa dan tidak adil terutamanya kepada pengusaha sektor perfileman.

Pengasas Pencil Pictures and Records Sdn Bhd (PPAR), Datuk Ayu Puteh berkata, kerugian yang ditanggung penerbit filem dan stesen televisyen jauh lebih tinggi berbanding hukuman denda yang dikenakan kepada pelakunya.

Jelasnya, apa yang paling penting adalah melakukan pindaan terhadap undang-undang sedia ada dengan menetapkan kompaun yang lebih berat sesuai dengan kerugian yang ditanggung pemain industri berkenaan.

Katanya, pemantauan rapi terhadap kemasukkan peralatan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti seumpamanya juga perlu dipertingkat.

"Sebenarnya kemasukan peralatan ini perlu dipantau, kalau tidak sesuai standard Malaysia, jangan dibawa masuk, kena kawal.

"Kalau standard dia luar negara, tidak sesuai dibawa masuk ke dalam Malaysia, akan menghancurkan negara dan masalah akan menjadi berpanjangan kalau lambat dikawal.


Keselamatan siber | Bahaya guna perisian tidak sah dalam kotak media

"Saya minta pihak kerajaan dan agensi berkaitan untuk mengawalnya dan tidak boleh ambil ringan atau sambil lewa," katanya kepada Astro AWANI melalui Skype pada Rabu.

Pada Selasa, seorang pengarah syarikat didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas enam kesalahan memiliki enam unit kotak media berjenama iBoite-X yang mempunyai aplikasi siaran Astro secara tidak sah.

Tertuduh, Ng Lee Lee, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

BACA: Pengarah syarikat didenda RM30,000 miliki kotak media iBoite-X secara haram

Dalam pada itu, turut senada, Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem (PFM), Zahrin Aris menyifatkan hukuman ke atas mereka yang menggunaan kotak media dengan aplikasi yang tidak sah sebagai teramat ringan. 

Justeru, beliau mencadangkan agar pesalah dikenakan hukuman yang lebih berat iaitu di bawah Akta Hak CIpta 1987 (Akta 332). 

"Saya bersetuju bahawa hukuman ini tersangatlah ringan. Dalam masa yang sama penjenayah ini dikenakan juga di bawah Akta 332 Akta Hak Cipta.

"Satu kandungan kalau dikira pastinya lebih besar nilainya daripada dinyatakan dalam media, iaitu RM30,000 sahaja. Ini adalah satu yang tersangat ringan bagi saya sebab kerugian terlalu besar untuk kita hadapi," katanya. 

Dalam masa sama, beliau yakin dan percaya kebanyakan rakyat Malaysia sudah faham bahawa penggunaan kotak media tanpa aplikasi sah itu adalah satu kesalahan.

"Namun sebab nak percuma dan tidak bayar, dan tidak memikirkan halal haram, mereka buat sahaja. Sekarang ini sudah ada yang kena (hukum), dan saya harap dengan apa yang terjadi hari ini, menjadi iktibar kepada semua rakyat Malaysia.

"Jangan ada lagi sesuatu yang haram dalam android box itu sendiri sebab ini hasil titik peluh penerbit dan pelbagai pihak yang telah berusaha untuk berniaga secara halal namun sebagai penonton menerimanya secara haram. Jangan buat-buat tak faham dan sekarang sudah terbukti," tegas beliau. 

Selain pemahaman daripada orang ramai, kerajaan juga diharap terus bertindak pro-aktif dalam memastikan tindakan undang-undang diambil ke atas pelaku daripada terus berleluasa serta merugikan pemain industri.