GERIK: Selepas banjir di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) pulih sepenuhnya semalam, daerah Hulu Perak pula dilanda banjir malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak memaklumkan, dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka masing-masing di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Idris Shah II dan SMK Gerik.
Menurutnya, seramai 120 orang daripada 36 keluarga dipindahkan ke kedua-dua PPS berkenaan.
Daripada jumlah itu, 24 mangsa daripada lima keluarga di Kampung Air Panas ditempatkan di PPS SMK Sultan Idris Shah II manakala 96 orang daripada 31 keluarga di Kampung Padang dipindahkan ke SMK Gerik.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Perak, Mohamad Fitri Hassan memaklumkan, dua PPS itu dibuka ekoran hujan berterusan melebihi dua jam sehingga menyebabkan berlakunya limpahan air berhampiran penempatan penduduk.
Pegawai Daerah Hulu Perak itu berkata, PPS di SMK Sultan Idris Shah II dibuka mulai jam 11.30 malam tadi manakala di SMK Gerik dibuka setengah jam kemudian.
Justeru, Mohamad Fitri memohon perhatian dan tindakan penyelarasan segera persiapan PPS dan pelaksanaan bantuan menyelamat dari semua ketua jabatan serta agensi peringkat Daerah Hulu Perak.