KUALA LUMPUR: Kes saman penghutang penghakiman difailkan bekas anggota kumpulan Elite, Hana atau nama sebenar Norhanasafiza Mat Adnan terhadap rakan kumpulannya, Watie atau nama sebenar Norwati Sadali, hari ini berjaya diselesaikan secara baik di Mahkamah Sesyen Selayang di sini.

Hana, selaku pemiutang penghakiman memfailkan saman itu bagi menuntut Watie, selaku penghutang penghakiman membuat bayaran hutang tertangguh lebih RM700,000 kepada Hana seperti diperintahkan sebelum ini oleh mahkamah sama, pada 25 Okt 2017.

Penghakiman persetujuan itu direkodkan oleh Hakim Nor Rajiah Mat Zin semasa prosiding dalam kamar dengan dihadiri peguam Mohd Fikri Abd Rahman yang mewakili Hana dan peguam Aqila Zulaiqha Zulkifli, mewakili Watie.

Mohd Fikri ketika ditemui pemberita berkata pihak-pihak terlibat bersetuju untuk menyelesaikan kes saman itu secara baik dan Watie juga bersetuju untuk menyelesaikan jumlah tuntutan yang diminta oleh Hana.

"Jumlah yang dipersetujui ialah RM796,000 termasuk faedah dan Watie akan membayar secara ansuran lebih RM2,000 sebulan sepertimana dipersetujui di hadapan hakim sebentar tadi. Watie akan menjelaskan bayaran itu pada setiap bulan sehingga penyelesaian penuh jumlah bayaran berkenaan," kata peguam itu.

Mohd Fikri berkata pembayaran ada dibuat oleh Watie seperti diperintahkan sebelum ini oleh mahkamah sama, namun pelakon itu beberapa kali tertangguh membuat pembayaran berikutan kekangan kewangan akibat pandemik COVID-19.

"Hana juga kehilangan kerja dan mungkin disebabkan itu, beliau agak beremosi. Namun, perkara ini akhirnya dapat diselesaikan secara baik dengan terma-terma dipersetujui. Saya minta supaya kes ini tidak dipanjangkan kerana anak guam saya bersetuju menerima jumlah bayaran yang dicadangkan oleh Watie.

"Masing-masing memerlukan sumber kewangan dan Hana mengharapkan pada kes ini untuk Watie membayar (hutang), namun bayaran itu tertangguh. Alhamdulillah, kita dapat selesaikan secara baik dan peguam juga telah berbincang mencari jalan terbaik," kata peguam itu.

Hana, memfailkan saman penghutang penghakiman pada 18 Mei 2017 selepas Watie gagal membayar ganti rugi berjumlah RM707,351.83 kepadanya.

Dalam saman penghutang itu, Hana turut memohon mahkamah mengeluarkan perintah waran tangkap sekiranya Watie gagal hadir ke mahkamah bagi memberi penjelasan berhubung kegagalannya membayar hutang itu.

Pada 10 Mac 2015, mahkamah sama memerintahkan Watie membayar ganti rugi berjumlah RM707,351.83 selepas membenarkan tuntutan saman Hana terhadap pelakon itu.

Hana menyaman Watie bagi menuntut ganti rugi berhubung kegagalan Watie menyelesaikan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya bagi membeli sebuah kenderaan jenis Toyota Wish.

Dalam pernyataan tuntutan, Hana mendakwa beliau telah membuat pinjaman bank sebanyak RM150,000 untuk membeli kereta itu sekitar September 2005 bagi pihak Watie kerana pelakon itu tidak layak membuat pinjaman.

Hana mendakwa selepas Watie memiliki kenderaan itu, beliau gagal mematuhi syarat ditetapkan termasuk tidak membuat bayaran ansuran sejak September 2010 kepada pihak bank yang menyebabkan Hana diisytiharkan muflis pada 1 April 2013.

-- BERNAMA