Pihak ANCAP (Australasian New Car Assessment Programme) melaporkan model Genesis daripada Hyundai telah diberi 5-bintang untuk faktor keselamatannya. Lebih penting, ia datang dengan markah 36.88 daripada markah penuhnya sebanyak 37.00. Ini didakwa oleh Hyundai sebagai pencapaian terbaik yang pernah diberikan oleh ANCAP di dalam 21 tahun penubuhannya.

Sebelum ini model mewah terulung daripada pengeluar Korea ini juga pernah diberi penganugerahan tertinggi untuk tahun 2014 dari segi keselamatan daripada pihak Insurance Institute for Highway Safety Amerika Syarikat.

Siri ujian yang dibuat ke atas Genesis 2014 ini adalah offset hadapan pada kelajuan 64km/sj; impak sisi (50km/sj); ujian tiang (29km/sj), kecederaan whiplash (tengkuk) pada 32km/sj, dan impak ke atas pejalan kaki pada 40km/sj. Kereta ini mendapat markah penuh untuk semua ujian kecuali impak offset hadapan iaitu 15.88 daripada 16.


Laporan terperinci ujian ini ada juga menyatakan bahawa kesemua empat pintu kekal tertutup setelah perlanggaran, dan kesemuanya boleh dibuka dengan mudah apabila diperlukan. Satu nota yang dicatatkan adalah kemungkinan kecederaan pada bahagian atas kaki yang boleh disebabkan oleh kolum stereng.

Satu faktor yang penting untuk mendapat markah tinggi di dalam mana-mana ujian NCAP adalah pemasangan fungsi keselamatan. Mengikut kata pengerusi ANCAP iaitu Lauchlan McIntosh, Hyundai Genesis adalah antara model yang dilengkapkan dengan hampir segala peralatan keselamatan yang ada di dalam senarai ANCAP.

Antara kelengkapan yang dimaksudkan termasuk: beg udara (hadapan, sisi dada, tingkap dan lutut pemandu); brek automatik autonomous dan ESC. Sistem pengawasan tekanan tayar (TPMS), adaptive cruise control, sistem sokongan lorong (Lane Support System), dan sistem Pre-Safe.

Ada ura-ura bahawa Hyundai Genesis akan dilancarkan di Malaysia, tetapi tiada kepastian daripada Hyundai-Sime Darby Motors sama ada ini akan berlaku. Jika melihat pada video di bawah, ia memang satu produk yang menawan, dilengkapi teknologi moden dan, seperti yang ANCAP buktikan, juga sangat selamat.