KUALA LUMPUR:Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan perincian dan kelayakan akses ke Akaun 1 bagi kemudahan i-Sinar.

Ia bakal melibatkan dua juta ahli yang layak dengan sejumlah RM14 bilion disediakan.

Menurut KWSP dalam satu kenyataan pada Isnin, langkah berkenaan dibuat bagi memperluaskan skop i-Sinar yang merangkumi ahli yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan akibat pandemik COVID-19.

“Ahli yang layak boleh membuat permohonan bermula Disember 2020.

“Amaun akan dikreditkan dalam akaun bank ahli pada hujung bulan selepas permohonan dibuat. Pengkreditan pertama akan bermula pada Januari 2021.

“Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan bermula pada tarikh pertama pengkreditan,” katanya.

Kenyataan yang sama juga menyebut ahli yang layak boleh mengakses 10 peratus daripada amaun simpanan mereka dalam Akaun 1, tertakluk kepada baki minimum RM100.

Sebagai contoh: 



Menurut kenyataan itu lagi, ahli yang memilih untuk memohon kemudahan i-Sinar perlu menggantikan amaun yang telah didahulukan.

“Caruman baharu akan dikreditkan 100 peratus ke dalam Akaun 1 sehingga amaun pendahuluan yang diterima telah digantikan semula.

“Selepas itu, caruman akan kembali ke kadar pecahan asal iaitu 70 peratus bagi Akaun 1 dan 30 peratus bagi Akaun 2.

“Bagi menentukan amaun yang diperlukan untuk permohonan di bawah i-Sinar dan memastikan kelangsungan hidup semasa krisis, ahli digalakkan untuk mendapatkan nasihat kewangan melalui Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP dan/atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK),” katanya.

Maklumat lebih lanjut serta butiran terperinci berkenaan kelayakan i-Sinar serta terma dan syarat akan dimaklumkan dalam masa terdekat.