KUALA KETIL: Polis mengesahkan tiga beranak dikhuatiri lemas selepas kereta yang dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai di Jambatan Pantai Cicar, Kuala Ketil, hari ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, identiti ketiga-tiga mangsa dimaklumkan oleh ahli keluarga yang tiba di tempat kejadian sebaik mengetahui kemalangan terbabit kira-kir ajam 6 petang.

“Mangsa ialah wanita yang juga ibu bernama Mashitoh Ibrahim, 37, serta dua anaknya, Mohd Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Mohd Ziyad Haziq Sharudin, 5.

“Mashitoh merupakan guru agama Sekolah Kebangsaan Kampung Selarong, Kuala Ketil,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

BACA: Kereta terjunam dalam sungai

Shamsudin memaklumkan siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Persona yang dipandu Mashitoh dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam sungai.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan pasukan Polis, Bomba serta dibantu penduduk kampung.

Difahamkan, orang awam menyedari kejadian itu kira-kira jam 6 petang selepas menemui serpihan bampar kereta itu di tebing sungai sebelum melihat kenderaan itu tenggelam sebelum hilang dihanyutkan arus.