Ibu kepada lima beradik terbiar yang hidup dalam timbunan sampah dan terabai seperti yang didedahkan oleh Astro AWANI semalam pernah mengugut untuk membakar anaknya sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKP), Paloh, Azman Adam memaklumkan pihaknya sudah lama mengetahui nasib anak-anak terbiar itu dan ibu mereka yang dipercayai menagih dadah itu namun sukar untuk mengambil tindakan kerana diugut oleh ibu mereka.

Katanya pernah berlaku situasi dimana si ibu ingin membakar anaknya namun mujur sempat dihalang. Malah si ibu dikatakan pernah beberapa kali ditahan polis dan bertindak kasar terhadap anaknya.

“Bantuan kita sudah beri, pakaian, makanan kepada anak mereka, masalah mereka banyak, ibunya penagih dan tidak ambil tahu pasal anak, kita bantu tapi susah sebab emak dia tidak mahu beri kerjasama,” katanya ketika ditemui di kediaman enam beranak itu di Kampung Bawah Lembah, Paloh di sini hari ini.

JKM mengesahkan pihaknya bersama polis telah mengambil enam beranak berkenaan sekitar jam 10.00 pagi tadi. - Foto Astro AWANI / VIVI SUMANTI
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup mengesahkan pihaknya bersama polis telah mengambil enam beranak berkenaan sekitar jam 10.00 pagi tadi.

Lima anak yang terabai itu katanya telah dihantar ke Pusat Penjagaan Kanak-Kanak di Pengkalan Chepa mengikut peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001 manakala ibunya yang berusia 34 tahun itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Semalam Astro AWANI melakukan tinjauan terhadap keluarga berkenaan setelah mendapat maklumat dari individu tertentu.

Ketika menjengah ke rumah yang disewa enam beranak ini, didapati lima anak wanita terbabit yang berusia 11, 9, 8, 6 tahun dan juga 9 bulan berada dalam keadaan terbiar, dengan pakaian kotor, tinggal di persekitaran kotor dan menjijikkan, tidak bersekolah selain terabai makan minum mereka.

Tinjauan Astro AWANI pagi ini mendapati kediaman yang kotor dan daif itu telah dikosongkan. - Foto Astro AWANI / VIVI SUMANTI
Anak sulung wanita itu yang berusia 13 tahun pula tidak tinggal bersamanya kerana menetap bersama bekas ibu mertuanya.

Setelah kisah enam beranak didedahkan, orang ramai mula datang dan menghulurkan bantuan sejak petang semalam.


Keluarga itu menetap di rumah berkenaan sebelum banjir buruk 2014, namun selepas banjir, si ibu dikatakan tidak mempedulikan anak-anaknya kerana dipercayai terlibat dengan dadah.

Tinjauan Astro AWANI pagi ini mendapati kediaman yang kotor dan daif itu telah dikosongkan.