PUTRAJAYA: Ibu hamil serta yang menyusukan anak dan wanita yang bercadang untuk mengandung boleh dipertimbangkan untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, golongan itu perlu mendapatkan nasihat daripada doktor sebelum mengambil suntikan vaksin berkenaan.

Menurutnya, golongan yang ada penyakit imuniti rendah juga dibenarkan untuk menerima vaksin, namun perlu memastikan keadaan mereka stabil sebelum disuntik.

“Kita tidak memperoleh data klinikal tentang wujudnya kontra indikasi (kesan akibat vaksin) kepada orang mengandung tapi KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) sudah membuat keputusan.

“Setiap yang ingin mendapat vaksinasi dalam Fasa 1, 2 dan 3, sekiranya mereka mengandung, mereka layak untuk mendapatkan vaksin tetapi dengan syarat telah menghubungi pakar atau doktor merawat mereka.

“Ia untuk menilai risiko, mana lebih bahaya untuk kepada mereka,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) di sini pada Isnin.

Turut menyertai sidang media itu ialah Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

BACA: Vaksin COVID-19: Denda, kompaun untuk orang potong giliran - Khairy

Tambahnya lagi, bagi mereka yang cuba untuk mengandung juga boleh diberikan vaksin selepas pertimbangan dilakukan.

“Mereka yang masih belum mengandung, kita beri (suntikan) tapi mereka kena pastikan beritahu (doktor) keadaan sebenar.

“Mereka perlu datang kepada kami dengan jadual mengandung mereka. Jadi kita boleh tentukan kepada mereka bahawa boleh ambil vaksin,” ujarnya.