KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan ibu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Mohd Jarjis untuk memasukkan tiga juta unit saham syarikat Rantai Wawasan Sdn Bhd dalam senarai harta pusaka peninggalan anaknya.

Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membuat keputusan itu selepas membenarkan sebahagian tuntutan Aminah Abdullah, 87, dan mengarahkan kedua-dua defendan yang juga cucu wanita itu, Nur Anis Jamaludin, 36, dan Ikwan Hafiz Jamaludin, 34, membayar kos sebanyak RM80,000 kepada nenek mereka.

Bagaimanapun, Mohd Firuz menolak permohonan Aminah untuk mengisytiharkan bahawa enam juta unit saham dalam syarikat Alpine Motion Sdn Bhd dan dua unit saham dalam syarikat Ivory Insight Sdn Bhd adalah sebahagian daripada harta pusaka peninggalan Allahyarham.

Permohonan itu adalah berkaitan dengan saman yang difailkan Aminah terhadap kedua-dua cucunya atas kegagalan mereka memasukkan saham tiga syarikat terbabit, bernilai RM1.3 bilion, dalam senarai harta pusaka Jamaluddin.

Dalam penghakiman setebal 26 muka surat, Mohd Firuz berkata berdasarkan keterangan yang diberikan oleh saksi defendan, mahkamah sedia menerima hakikat bahawa saham dalam syarikat Alpine dan Ivory telah dibeli untuk manfaat mereka.

Beliau berkata dari 2011 hingga 2012, kedua-dua defendan sememangnya terlibat dalam operasi dan pengurusan dua daripada syarikat terbabit di bawah bimbingan bapa mereka dan situasi ini tidak sama dengan saham dalam Rantai Wawasan yang merupakan pembabitan pertama mereka dalam perniagaan itu secara rasmi selepas Jamaludin meninggal dunia.

Katanya mahkamah berpuas hati bahawa Aminah telah berjaya membuktikan tuntutannya berhubung saham dalam Rantai Wawasan.

Aminah diwakili peguam Pawancheek Merican dan Kamar Ainiah Kamaruzaman manakala peguam S. Suhendran dan Frank Wong mewakili Nur Anis dan Ikhwan.

Dalam saman yang difailkan pada 3 Jan 2019, Aminah mendakwa Nur Anis dan Ikwan Hafiz sebagai pentadbir bersama harta pusaka peninggalan Jamaludin, telah gagal memasukkan saham ketiga-tiga syarikat sebagai harta pusaka dalam senarai aset di dalam surat kuasa mentadbir selepas Allahyarham meninggal dunia pada 4 April 2015, dan juga gagal memasukkan saham itu sebagai liabiliti sejak 6 Julai 2017.

Penyataan tuntutan Aminah mendakwa bahawa kedua-dua defendan berbuat demikian dengan niat untuk menafikan hak dan kepentingannya sebagai waris.

Aminah mendakwa kedua-dua cucunya juga gagal menyatakan anggaran nilai saham terbabit yang berjumlah RM1,384,312,154 selepas dua setengah tahun Jamaludin meninggal dunia.

BACA: Adik Jamaludin Jarjis saksi pertama bicara harta pusaka

BACA: Ibu Allahyarham Jamaludin Jarjis fail afidavit balasan

Jamaludin, yang juga bekas Ahli Parlimen Rompin, terkorban dalam nahas helikopter di Kampung Sungai Pening, Semenyih, Selangor pada 4 April 2015 tanpa meninggalkan wasiat.

Aminah juga mendakwa Nur Anis dan Ikwan Hafiz gagal memasukkan sebuah pangsapuri bernilai RM10 juta di Amerika Syarikat dalam senarai aset Jamaludin selain tidak memaklumkan beliau bahawa Mahkamah Tinggi Syariah telah mengeluarkan sijil faraid kepadanya berhubung harta pusaka Allahyarham pada 6 Okt 2016.

Justeru, beliau memohon mahkamah mengeluarkan perintah agar namanya dimasukkan sebagai pentadbir bersama harta pusaka peninggalan Jamaludin kerana beliau adalah ibu Allahyarham dan agar kedua-dua defendan membayar dividen, bonus serta keuntungan daripada saham dalam ketiga-tiga syarikat.

Sementara itu, kedua-dua defendan menerusi pernyataan pembelaan yang difailkan pada 2019 mendakwa mereka adalah pemilik sah saham di ketiga-tiga syarikat bersama adik-beradik mereka yang lain.

Menurut defendan, ia adalah niat bapa mereka bahawa anak-anaknya akan mengambil alih, menjalankan dan menguruskan perniagaan-perniagaannya dan niat itu disampaikan semasa beliau masih hidup.

-- BERNAMA