KOTA BELUD: Seorang ibu terkejut mendapati anaknya yang baru berusia 13 tahun melahirkan bayi perempuan dalam kejadian di rumah mereka di sebuah kampung di daerah ini, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, wanita terbabit yang tersedar daripada tidur mendapati remaja berkenaan sedang membersihkan tubuh seorang bayi.

Wanita itu terus membawa remaja dan bayi terbabit ke Hospital Kota Belud untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan sepatutnya.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai pernah dirogol oleh sepupunya yang berusia 14 tahun.

Katanya, hasil siasatan awal, kejadian itu dipercayai berlaku sebanyak tiga kali sejak Ogos tahun lalu.

"Remaja lelaki terbabit sudah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu, petang semalam untuk siasatan selanjutnya.

"Hasil siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sahimi berkata, setakat ini siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.