KUANTAN: Seorang ibu tunggal kerugian lebih RM170,000 akibat terpedaya dengan sindiket 'Love Scam' atau penipuan cinta selepas berkenalan dengan seorang individu menerusi laman sosial.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata penjawat awam berusia 40 tahun itu telah berkenalan dengan seorang lelaki menerusi Instagram bulan lepas sebelum berhubung menerusi aplikasi WhatsApp.

Lelaki berkenaan juga katanya, telah berjanji untuk mengahwini mangsa.

"Beberapa minggu kemudian, lelaki itu telah meminjam wang mangsa sebanyak RM1,500 dengan alasan untuk membuat pembayaran bil hospitalnya dan berjanji akan memulangkan semula wang itu.

"Bagaimanapun, lelaki itu terus meminjam wang mangsa dengan menggunakan pelbagai alasan dan wanita berkenaan telah membuat sembilan transaksi melibat wang berjumlah lebih RM170,400," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata mangsa yang berasa ditipu telah membuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau sehubungan itu, menasihatkan orang ramai supaya tidak melayan individu tidak dikenali dan jangan mudah mempercayai kenalan menerusi media sosial.

-- BERNAMA