Ibu Zayn Rayyan dihantar ke Penjara Kajang serta-merta

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira Abdul Manaf selepas didapati bersalah mengabaikan anaknya, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, dua tahun lalu. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
PETALING JAYA: Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abul Matin dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, di sini atas pertuduhan pengabaian terhadap kanak-kanak autisme itu, dua tahun lalu.
Hakim Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati tertuduh, Ismanira Abdul Manaf bersalah atas tuduhan pengabaian yang mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap Zayn Rayyan.
Beliau juga memerintah tertuduh menjalani hukuman penjara serta-merta pada Jumaat, selain mengenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM3,000 dan seorang penjamin.
Ismanira turut diperintah dua tahun bon berkelakuan baik dan perintah khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas selesai hukuman pemenjaraan.
"Setelah meneliti dan mempertimbangkan rayuan serta hujahan mitigasi pihak pembelaan dan hujahan pemberatan pihak pendakwaan, mahkamah memutuskan tiada sebab untuk mahkamah menangguh pelaksanaan hukuman ke atas tertuduh.
"Alasan-alasan yang dikemukakan pihak pembelaan termasuk penjagaan anak bongsu tertuduh iaitu adik  Zayn Rayyan, masih boleh diuruskan oleh bapanya. " katanya katanya ketika membacakan keputusan di sini, pada Jumaat.
"Tiada alasan yang meyakinkan mahkamah untuk membenarkan penangguhan. Alasan bahawa dia perlu menjaga seorang lagi anak autistik adalah urusan peribadi yang boleh diuruskan keluarganya.
"Maka rayuan yang dikemukakan (pembelaan) tiada sebarang justifikasi atau keadaan luar biasa bagi penangguhan ini. Oleh itu, dia perlu dipenjarakan serta-merta," katanya ketika membacakan keputusannya di sini, pada Jumaat.
Syahliza sebelum membacakan keputusan akhir itu menangguh prosiding sebanyak tiga kali.
Ketika membacakan keputusannya, Syahliza berkata, pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap wanita berusia 30 tahun itu di akhir kes pembelaan dan pada masa sama pasukan pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh atas pertuduhan itu.
Terdahulu, selepas hukuman dijatuhkan, peguam Haresh Mahadevan yang mewakili tertuduh terus memohon penangguhan pelaksanaan hukuman, dengan hujah terdapat keadaan khas yang wajar dipertimbangkan.
Pihak pembelaan memohon budi bicara mahkamah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman atas alasan terdapat keadaan khas yang wajar dipertimbangkan sementara menunggu proses rayuan selesai.
"Sekiranya penangguhan ini dibenarkan, pihak pembelaan bersedia untuk menerima peningkatan jumlah jaminan serta apa-apa syarat tambahan yang difikirkan sesuai mahkamah.
"Tertuduh bukan berisiko melarikan diri kerana dia tidak memiliki pasport. Tiada prejudis terhadap pihak pendakwaan sekiranya penangguhan dibenarkan sementara menunggu keputusan rayuan.
"Sekiranya rayuan diterima kelak, dia akan mengalami tempoh pemenjaraan yang sia-sia," katanya.
Selain itu, Haresh turut merayu mahkamah mengambil kira faktor bahawa pelaku sebenar kematian Zayn Rayyan masih belum ditemui dan anak guamnya mempunyai seorang lagi anak autistik yang kini dijaga keluarga angkat di Rembau, Negeri Sembilan, selepas diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurutnya, anak bongsu tertuduh akan hilang arah, trauma dan tertekan.
"Dia sudah kehilangan abangnya, Zayn Rayyan dan kini tidak lagi dapat berjumpa ibunya seperti yang dibenarkan Mahkamah Majistret Shah Alam sebelum ini.
"Ini akan menyebabkan trauma mendalam kerana dia amat menantikan masa 48 jam seminggu bersama ibunya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi membantah permohonan itu, dengan alasan tiada keadaan khas atau luar biasa yang membenarkan penangguhan hukuman.
Kata beliau, rayuan dibuat selepas tertuduh disabitkan kesalahan selepas melalui perbicaraan penuh.
"Tiada prejudis terhadap haknya sekiranya penangguhan tidak dibenarkan, memandangkan rayuan di Mahkamah Tinggi masih belum didengar atau diputuskan," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


