Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia mengenai dua isu berkenaan tragedi menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) tahun ini, kata Setiausaha Agung ICAO Raymond Benjamin.

Beliau berkata dua isu utama yang ICAO sedang mengusahakan ialah membangunkan sistem pengesan global dan penerbangan di atas zon konflik.

"Ukraine adalah sebuah zon konflik dan juga ada lagi zon konflik. ICAO sedang bekerjasama secara lebih menyeluruh dengan Kerajaan Malaysia mengenai perkara ini.

Malaysia akan menjadi delegasi penting kepada Persidangan Antarabangsa ICAO di Montreal (Kanada) Februari tahun depan.

Lebih 150 negara akan hadir persidangan itu, katanya semasa ditemui pada majlis makan malam Anugerah KLIA 2013, di sini malam ini.

Benjamin berkata ICAO juga membuat satu keputusan sebulat suara mengenai keperluan untuk memasuki kawasan pesawat MAS penerbangan MH17 terhempas.

Sementara itu Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi yang mewakili Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata dalam ucapannya kerajaan berikrar akan mencari penyelesaian untuk semua anggota keluarga dan rakan mereka yang terkorban dalam nahas pesawat MAS.

"Bagi pihak kerajaan, saya akan pastikan kita tidak memperlahankan pencarian dan akan terus meneroka segala pilihan yang mungkin untuk mencari MH370 dan mencari jawapan apa yang sebenarnya berlaku kepada pesawat MH17 yang terhempas.

Pesawat MH17 dengan 298 penumpang dan anak kapal sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur semasa ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas.

Kapal terbang Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu dan tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab.

Empat puluh tiga penumpang dan anak kapal merupakan rakyat Malaysia.

Penerbangan MH370 dengan 227 penumpang 12 anak kapal dalam perjalanan ke Beijing apabila ia hilang selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL, di sini pada 8 Mac lepas.