NATIONAL
ICAO putuskan Rusia tembak jatuh pesawat MH17

Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab terhadap insiden tembakan ke atas pesawat Malaysia Airlines MH17. - Gambar fail Reuters
KUALA LUMPUR: Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab terhadap insiden tembakan ke atas pesawat Malaysia Airlines MH17.
Insiden itu mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 196 warganegara Belanda serta 38 warga dan penduduk Australia pada 2014.
Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan berasingan oleh kerajaan Belanda dan Australia pada Isnin, yang menyifatkannya sebagai satu langkah penting ke arah keadilan serta pertanggungjawaban terhadap mangsa dan keluarga mereka.
Pesawat MH17 berlepas dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 sebelum ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine ketika pertempuran sengit antara puak pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.Pada November 2022, mahkamah di Belanda telah menjatuhkan hukuman bersalah terhadap dua rakyat Rusia dan seorang warga Ukraine atas kesalahan membunuh, walaupun ketiga-tiga tertuduh tidak hadir dalam perbicaraan.
Rusia ketika itu menyifatkan keputusan tersebut sebagai "memalukan" dan enggan mengekstradisi warganya.
Menurut Menteri Luar Belanda, Caspar Veldkamp, keputusan ICAO ini memberi mesej jelas bahawa sesebuah negara tidak boleh melanggar undang-undang antarabangsa tanpa dikenakan tindakan.
“Keputusan ini adalah satu langkah penting dalam usaha mencari kebenaran dan menuntut keadilan bagi semua mangsa MH17 serta ahli keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, Belanda dan Australia akan terus mendesak agar Majlis ICAO mengarahkan Rusia untuk memulakan rundingan berkaitan pembayaran pampasan.
Menteri Luar Australia, Penny Wong turut mengalu-alukan keputusan itu sambil menggesa ICAO agar mempercepatkan proses menentukan bentuk ganti rugi yang sewajarnya.
“Kami menyeru Rusia supaya bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan keganasan yang dahsyat ini dan memenuhi kewajipan antarabangsa untuk membayar pampasan,” tegas beliau.
Pertubuhan ICAO yang beribu pejabat di Montreal tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan undang-undang, namun ia memainkan peranan penting dalam menetapkan piawaian penerbangan global yang diterima pakai oleh majoriti 193 negara anggotanya.
Kes terhadap Rusia dibawa ke ICAO pada tahun 2022 oleh kerajaan Belanda dan Australia, yang sejak awal konsisten menuntut keadilan dalam tragedi MH17.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami