KUALA LUMPUR: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa pihak kepimpinan kembali menumpukan urusan pemerintahan selepas berakhir proses Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh berkata, semua parti politik kini perlu memberi tumpuan kepada pembaharuan institusi, penggubalan dasar serta tadbir urus yang baik.

"Kerajaan dan pembangkang di peringkat persekutuan serta negeri perlu memainkan peranan penting dalam memastikan tadbir urus yang baik bagi Malaysia dan negeri masing-masing.

"Paling penting, perlu ada kompromi, kerjasama dan sinergi antara kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri dalam pembentukan serta pelaksanaan dasar.

"Langkah ke hadapan untuk Persekutuan Malaysia yang sebenar adalah untuk semua negeri menerima bahagian peruntukan dan sumber saksama, tanpa mengira gabungan yang mentadbir negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu jelasnya, kompromi, kerjasama dan sinergi antara dua pihak kerajaan persekutuan serta negeri dalam pembentukan juga pelaksanaan dasar serta tadbir urus yang baik bagi Malaysia dan negeri masing-masing perlu diberi keutamaan.

Tambah Tricia, semua negeri wajar menerima bahagian peruntukan dan sumber yang saksama tanpa mengira gabungan yang mentadbir negeri pada masa hadapan.

Sementara itu katanya, IDEAS turut mengalukan saranan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk melaksanakan sistem backbencher (wakil rakyat bukan eksekutif) di negeri itu dan berharap ahli perlu bersiap sedia dalam memastikan kerajaan negeri yang lebih bertanggungjawab.