KUALA LUMPUR:Polis mengenal pasti identiti dua lelaki yang terlibat dalam kemalangan maut, selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam Tasik Biru di Jalan Kampung Setia, Batu Arang di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Faizal Abu Hassan, 43, merupakan seorang pesara polis dan Chong Kha Mun, 35 tahun, yang mana siasatan polis mendapati kedua-dua mereka berjiran, berdasarkan kepada alamat terakhir yang diperolehi pihaknya.

Menurutnya,  dalam kejadian kira-kira 6.10 petang itu, kedua-dua mangsa menaiki kereta jenis Toyota Vios, sebelum kenderaan itu dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan, sebelum terjunam ke dalam Tasik Biru Kundang.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa keluar dari tasik kira-kira 8.02 malam oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Terdapat kerosakan di bahagian depan kereta dan cermin, serta siasatan masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan semalam.

BACA: 2 maut kereta terjunam dalam Tasik Biru

Beliau berkata, saksi bebas sedang dikenal pasti bagi membantu siasatan dan mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 6.10 petang yang memaklumkan insiden itu, dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang bergegas ke lokasi kejadian.

-- BERNAMA