Skip to main content

Malaysia

IJN pusat pertama di Asia terima akreditasi EAPC bagi pengurusan risiko dan pencegahan kardiovaskular

61691233874_ijn.jpg
Institut Jantung Negara (IJN) mencapai kejayaan antarabangsa yang signifikan apabila menerima Akreditasi Pusat Pengurusan Risiko dan Pencegahan Kardiovaskular daripada Persatuan Kardiologi Pencegahan Eropah (EAPC), sekali gus menjadi pusat pertama di Asia yang menerima pengiktirafan berprestij itu. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) mencapai kejayaan antarabangsa yang signifikan apabila menerima Akreditasi Pusat Pengurusan Risiko dan Pencegahan Kardiovaskular daripada Persatuan Kardiologi Pencegahan Eropah (EAPC), sekali gus menjadi pusat pertama di Asia yang menerima pengiktirafan berprestij itu.

IJN dalam kenyataan hari ini memaklumkan pencapaian itu meletakkan institut berkenaan dalam kelompok elit pusat yang diiktiraf di peringkat antarabangsa kerana menunjukkan kecemerlangan dalam penyampaian penjagaan pencegahan kardiovaskular yang komprehensif berasaskan bukti, selaras dengan piawaian ketat Eropah.

“Akreditasi EAPC adalah tanda kecemerlangan yang diberikan kepada institusi yang mempunyai kepakaran multidisiplin cemerlang, tadbir urus klinikal yang kukuh, penjagaan pesakit berkualiti tinggi serta komitmen yang mantap terhadap penambahbaikan kualiti secara berterusan dalam pencegahan penyakit kardiovaskular.

“Ia mencerminkan dedikasi IJN dalam menyediakan perkhidmatan kardiologi pencegahan bertaraf dunia, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju serantau dalam pengurusan risiko dan pencegahan kardiovaskular,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan pengiktirafan berkenaan melengkapi visi Klinik Pengurangan Risiko Kardiovaskular (CRRC) IJN bahawa kardiologi pencegahan adalah masa depan bidang kardiologi.

Pakar Perunding Kanan Kardiologi dan Pengarah Jabatan Pengalaman Pelanggan IJN Datuk Seri Dr Azhari Rosman yang mengetuai CRRC dalam kenyataan itu berkata penyakit kardiovaskular lazimnya berkembang secara perlahan, dengan faktor risiko terkumpul jauh lebih awal sebelum gejala muncul.

“Kardiologi pencegahan adalah masa depan penjagaan kardiovaskular. Melalui penilaian awal risiko dan intervensi yang disasarkan, kami boleh menangani faktor yang menyumbang kepada penyakit jantung sebelum pesakit mengalami serangan jantung, strok atau komplikasi kardiovaskular serius yang lain,” katanya.

Beliau berkata akreditasi itu mengesahkan pendekatan komprehensif CRRC serta memberikan jaminan tambahan bahawa penjagaan yang diberikan adalah bersifat multidisiplin, berasaskan bukti dan selaras dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata akreditasi berkenaan adalah satu lagi pengiktirafan antarabangsa yang utama terhadap komitmen IJN dalam menyediakan penjagaan kardiovaskular yang komprehensif.

“Menjadi pusat pertama di Asia yang menerima akreditasi ini adalah satu pencapaian yang membanggakan bagi IJN dan Malaysia. Ia meletakkan IJN dalam kelompok elit pusat yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta mencerminkan dedikasi pasukan multidisiplin kami dalam menyediakan penjagaan kardiovaskular pencegahan pada standard tertinggi,” katanya.

Dr Mohamed Ezani berkata tanggungjawab IJN melangkaui rawatan penyakit jantung dan institut itu turut komited mengenal pasti risiko kardiovaskular pada peringkat awal, mencegah komplikasi pada masa hadapan serta memperkasakan pesakit untuk mengawal kesihatan jantung mereka sepanjang hayat.

Ketua Pegawai Klinikal dan Pakar Perunding Kanan Kardiologi IJN Datuk Dr Shaiful Azmi Yahaya berkata pencapaian itu memperkukuh keupayaan klinikal dan pendidikan IJN dalam bidang kardiologi pencegahan.

“Akreditasi ini mengesahkan bahawa pendekatan IJN terhadap pengurusan risiko dan pencegahan kardiovaskular memenuhi piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, disokong oleh amalan berasaskan bukti serta kepakaran multidisiplin.

“Ia juga mengukuhkan kepentingan peralihan daripada merawat penyakit yang telah berlaku kepada intervensi awal dan pencegahan,” katanya.

Sebagai pusat kardiologi pencegahan pertama dan satu-satunya di Asia yang menerima akreditasi EAPC, IJN terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pencegahan penyakit kardiovaskular, di samping memajukan hasil kesihatan jangka panjang yang lebih baik untuk pesakit.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement