BUTTERWORTH: Kandungan oksigen terlarut yang turun secara mendadak dikenal pasti antara punca kematian ikan di Sungai Kulim, Kampung Tun Sardon,  Tasek Gelugor,  di sini Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, penurunan oksigen itu berpunca daripada peningkatan kandungan pepejal terampai yang berkemungkinan disebabkan hujan lebat di hulu Sungai Kulim.

Insiden itu, jelas beliau, menyebabkan berlaku fenomena ikan mabuk seterusnya mati.

Sharifah Zakiah berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima laporan kejadian ikan mabuk dan mati di Sungai Kulim itu pada pukul 5.45 petang Jumaat.

Katanya, JAS telah mengambil sampel air di tiga lokasi berdekatan selain membuat pemantauan melalui dron di sekitar sungai berkenaan.

“Siasatan seterusnya dilakukan di bahagian hulu sehingga memasuki sempadan Kulim sebelum turut menemui ikan mati terapung di kawasan Kedah… lalu kita memerlukan penyertaan JAS Cawangan Kulim.

'' Setakat ini siasatan mendapati, tiada punca industri yang berpotensi mencemar sungai berkenaan dan JAS mendapati kandungan oksigen terlarut turun mendadak iaitu selari dengan peningkatan kandungan pepejal terampai, '' katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Sharifah Zakiah berkata, JAS negeri akan meneruskan kerjasama dengan JAS Kedah dalam mengawal pencemaran merentasi sempadan.

Menurutnya, kejadian ikan mabuk dan mati di Sungai Kulim itu juga akan dimaklumkan kepada pihak Lembaga Sumber Air Kedah untuk tindakan sewajarnya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pencemaran alam sekitar seperti yang tertakluk di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

''Orang ramai disarankan tidak melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan pencemaran air untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.'' katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sebarang maklumat berhubung kes-kes pencemaran boleh menghubungi JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui e-aduan di [email protected].