KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz menafikan dakwaan memberikan jam tangan jenama G-Shock dan payung bagi 'memancing' kehadiran orang ramai pada pelancaran Perikatan Nasional (PN) Negeri Kelantan baru-baru ini.

Ikmal Hisham yang juga Timbalan Menteri Pertahanan turut mencabar mana-mana pihak agar mengemukakan bukti terhadap tuduhan yang dilemparkan.

"Untuk makluman, seminggu sebelum acara tersebut, saya sudah menguar-uarkan secara meluas kepada orang ramai khususnya di Tanah Merah bahawa bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan hadir bagi melancarkan PN Peringkat Negeri Kelantan.

"Pada hari berkenaan juga, saya mengumumkan sekali lagi akan berlangsung majlis pelancaran tersebut. Terserah kepada orang ramai yang hadir di mesyuarat berkelompok Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG) di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah di lokasi yang sama untuk menghadiri pelancaran berkenaan atau pulang.

"Bagaimanapun orang ramai tidak berganjak, malah lebih ramai yang datang. Kehadiran mereka adalah secara sukarela dan bukannya terdapat pemberian jam tangan G-Shock atau payung seperti mana
didakwa," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ikmal Hisham berkata beliau percaya kehadiran orang ramai adalah bagi menghargai Ahli Parlimen Pagoh itu, yang disifatkan banyak menyumbang jasa kepada rakyat dalam menguruskan pandemik COVID-19, ketika menjadi Perdana Menteri.

"Saya turut kesal dengan tohmahan mengatakan orang ramai diberi jam tangan G-Shock yang saya fikir tidak munasabah kerana ia pastinya melibatkan kos cukup besar mencecah belasan juta ringgit jika mahu diberikan sebagai cenderahati kepada lebih 30,000 pengunjung di Pelancaran PN Negeri Kelantan," tambahnya lagi.

Sementara itu, berhubung hadiah cabutan bertuah pula, Ikmal Hisham berkata dalam banyak program melibatkan rakyat kebiasaannya ia akan ada acara sedemikian bagi memeriahkan majlis.

Begitupun, katanya ia perlu difahami jika program atau penganjurnya tidak disukai oleh rakyat, betapa besarpun hadiah yang disediakan, orang ramai tetap tidak akan hadir.