IPOH: Ibu bapa diminta memantau kesihatan anak-anak mereka sebelum menghantar anak-anak mereka ke sekolah sebagai langkah berjaga-jaga biarpun wujud beberapa kluster kes penyakit seperti influenza (ILI) melibatkan sekolah-sekolah di Perak yang penularannya masih berada dalam keadaan terkawal.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Saidi Mohammad Daud berkata ibu bapa perlu melakukan pengasingan dan pemantauan ke atas anak-anak mereka sekiranya mempunyai simptom seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak.

"Ibu bapa perlu sentiasa mengawasi dan memantau anak-anak mereka sebelum pergi ke sekolah dan tidak menghantar ke sekolah sekiranya ada simptom demi untuk menjaga keselamatan dan kesihatan pelajar yang lain di sekolah," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan Akademi Bina Insan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau negeri Mohd Akmal Kamarudin dilaporkan berkata sebanyak 35 kluster ILI direkodkan di negeri itu setakat ini dengan 26 kluster masih aktif yang membabitkan institusi pendidikan.

Mohd Akmal berkata Daerah Kinta merekodkan enam kluster, antara yang tertinggi berbanding daerah lain iaitu Kuala Kangsar, Hulu Perak, Batang Padang, Kampar, Muallim dan Perak Tengah.

Beliau berkata majoriti kes dirawat sebagai pesakit luar sahaja dan wabak itu masih terkawal dan tiada sebarang kematian direkodkan.

-- BERNAMA