RAUB:Jabatan Imigresen mengambil inisiatif menempatkan pendatang tanpa izin yang ditahan di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Bina Negara sebagai langkah mengekang penularan COVID-19, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata pihaknya menyewa kem PLKN di Beranang, Selangor dan Kem Wawasan Negara di Langkawi, Kedah untuk menempatkan lebihan pendatang tanpa izin di depoh tahanan.

Katanya setakat ini, jumlah tahanan di depoh yang ada melebihi kapasiti iaitu kira-kira 2,000 orang, yang mana hanya melibatkan tahanan di Semenanjung.

"Kami juga dalam perancangan menyewa satu lagi kem di Pulau Pinang untuk menampung lebihan tahanan ini. Jumlah ini masih boleh diuruskan kerana selain menyewa kem-kem ini, pengusiran juga telah mula berjalan, sekarang kita boleh usir antara 200 pendatang tanpa izin dalam seminggu," katanya selepas menyertai Ops Durian di Sungai Ruan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai kapasiti sedia ada di depoh tahanan Imigresen bagi menampung bilangan pendatang tanpa izin.

Sehingga Isnin, seramai 26,335 pendatang tanpa izin telah diusir dengan warganegara Indonesia mencatat bilangan tertinggi iaitu 11,747 orang diikuti Bangladesh (3,788) dan Thailand (2,001).

Khairul Dzaimee berkata pihaknya juga telah melaksanakan pengasingan antara pendatang yang baharu dan lama di depoh tahanan sebagaimana yang disaran oleh Kementerian Kesihatan dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Beliau juga berkata mulai 1 Jan 2020 sehingga Isnin, Jabatan Imigresen telah menahan seramai 20,169 pendatang dan 313 majikan melalui 5,479 operasi yang dilaksanakan di seluruh negara.

Katanya warganegara Indonesia mencatat jumlah paling tinggi iaitu 7,994 orang diikuti Bangladesh (3,332), Myanmar (2,508), Filipina (1,580), Thailand (1,225), India (1,194), Pakistan (864), Vietnam (429), China (349), Nepal (342) dan lain-lain seramai 352 orang.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjadi lokasi penahanan pendatang tanpa izin tertinggi dengan 3,422 orang selain Sarawak (2,741), Putrajaya (2,230) dan Sabah (1,170) manakala Wilayah Persekutuan Labuan menjadi lokasi penahanan terendah iaitu hanya 85 orang.

-- BERNAMA