KULIM: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah berjaya menahan seramai 129 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam Ops Sapu yang dilaksanakan di sebuah tapak pembinaan bangunan perniagaan di Daerah Kulim pada Rabu.
Pengarah JIM Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain, berkata, dalam operasi yang bermula jam 10 pagi, dilaksanakan hasil risikan dan maklumat awam oleh sepasukan 20 pegawai Bahagian Penguatkuasaan JIM Negeri Kedah daripada Unit Tindakan Imigresen.
Beliau berkata, pemeriksaan dijalankan ke atas 159 orang, terdiri daripada 30 warganegara Malaysia dan 129 warga asing di tapak pembinaan yang dikenal pasti.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 129 warga asing tersebut telah ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, antaranya tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, tinggal lebih masa serta melanggar syarat pas yang dikeluarkan.
“Daripada jumlah tangkapan tersebut, 125 orang adalah lelaki dan 4 orang perempuan, melibatkan 100 warganegara Bangladesh, 11 warganegara Pakistan, 10 warganegara Indonesia dan 8 warganegara Myanmar.
“Semasa operasi dijalankan, sebahagian PATI bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa. Mereka turut cuba bersembunyi di kawasan tapak pembinaan yang berisiko tinggi termasuk di bahagian atas struktur bangunan yang sedang dibina bagi mengelakkan daripada ditahan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Walau bagaimanapun Mohd Ridzzuan berkata, tindakan pantas anggota operasi berjaya mengawal keadaan dan menahan kesemua individu terbabit dengan mengutamakan aspek keselamatan serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang operasi dijalankan.
Katanya, kesemua PATI yang ditahan berusia antara 21 hingga 62 tahun telah dihantar ke Depot Imigresen Belantik bagi tujuan dokumentasi, siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.
Dalam operasi yang sama, satu (1) Borang Imm.29 (Saman Kepada Saksi) turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.
JIM Negeri Kedah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara.
Jabatan turut mengingatkan mana-mana majikan supaya tidak menggaji, melindungi atau membenarkan warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan dan pas yang sah untuk bekerja. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang didapati melanggar peruntukan Akta Imigresen 1959/63.