MALAYSIA
Imigresen tumpas dua sindiket urusan haram PLKS di Lembah Klang

Dua sindiket warga asing yang menawarkan perkhidmatan berkaitan permohonan PLKS tumpas dalam dua serbuan berasingan di ibu negara pada Khamis. - Gambar Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia menumpaskan dua sindiket yang dipercayai terlibat dalam pemalsuan dokumen dan urusan haram Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) menerusi dua serbuan berasingan di ibu negara pada Khamis lepas.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi pertama dijalankan pada 12.05 tengah hari di sebuah premis pejabat di Jalan Pudu, melibatkan sindiket dikenali sebagai 'Zakeer'.
Beliau berkata hasil serbuan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya itu membawa kepada penahanan tiga lelaki warga Bangladesh berusia antara 40 hingga 50 tahun, termasuk dalang utama sindiket terbabit.
"Sindiket ini dipercayai menawarkan perkhidmatan pembaharuan PLKS kepada warga asing di sekitar Lembah Klang dengan bayaran antara RM2,500 hingga RM6,000 bagi setiap permohonan."Siasatan mendapati sindiket ini telah beroperasi selama setahun, dan tiga lelaki yang ditahan memiliki PLKS sektor pembinaan yang masih sah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi itu turut merampas 130 pasport Bangladesh, tiga pasport Indonesia dan tiga telefon bimbit.
Satu lagi serbuan dilakukan pada 7.09 malam di sekitar Ampang Baru membawa kepada penahanan tiga lagi individu dari sindiket dikenali sebagai 'Shaheed'.
"Mereka terdiri daripada dua lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga Myanmar, masing-masing berusia 33 hingga 43 tahun dan dipercayai berperanan sebagai orang tengah," katanya.
Semakan mendapati seorang daripada lelaki Pakistan memiliki PLKS sektor pembersihan, seorang lagi tinggal lebih masa, manakala lelaki Myanmar terbabit memiliki kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
"Sindiket ini menawarkan perkhidmatan berkaitan PLKS dengan caj antara RM80 hingga RM500 bagi setiap urusan, dan dipercayai telah beroperasi selama setahun," katanya.
Menurut Zakaria rampasan dalam serbuan itu merangkumi satu pasport setiap seorang dari Pakistan, Vietnam, Myanmar, Bangladesh dan Sri Lanka, 24 pelekat Malaysia Pass (Malpass) yang disyaki palsu serta lima telefon bimbit.
Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut, manakala seorang lagi warga Bangladesh diberikan notis untuk hadir membantu siasatan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami