Malaysia berharap agar krisis di Jammu dan Kashmir dapat diselesaikan melalui meja rundingan, selari dengan usaha untuk terus memastikan kedamaian dan kemakmuran dapat dicapai di daerah itu.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, sebagai negara yang mempunyai hubungan rapat dengan India dan Pakistan, Malaysia berharap kedua-dua negara jiran itu dapat mencari jalan mengelakkan pertelingkahan berlanjutan yang boleh menggugat penduduk Jammu dan Kashmir.

“Malaysia menggalakkan semua pihak terlibat agar mematuhi resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) mengenai Jammu dan Kashmir dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

“Malaysia mengambil berat mengenai perkembangan di Jammu dan Kashmir, terutamanya mengenai ketegangan yang semakin meningkat di kawasan itu,” kata PMO dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Presiden India keluarkan dekri, tiada lagi status khas Kashmir

Baru-baru ini, New Delhi bertindak menarik balik semua hak autonomi yang dinikmati Jammu dan Kashmir sejak menyertai India pada 1947.

Pengisytiharan tersebut diumumkan selepas pihak berkuasa Kashmir yang ditadbir India meletakkan sebahagian besar rantau itu dalam perintah berkurung pada Isnin.

BACA: Jammu, Kashmir tegang akibat keputusan kontroversi New Delhi

BACA: Tangguhkan lawatan tidak perlu ke Jammu dan Kashmir - Wisma Putra

Sebelum ini, Jammu dan Kashmir, yang ditadbir India, diberi kuasa istimewa di bawah Artikel 370 pada tahun 1950-an.

Mereka dibenarkan untuk mempunyai perlembagaan negeri sendiri, kuasa perundangan dan eksekutif terhadap kebanyakan rakyatnya.