KUALA LUMPUR: Individu berusia 35 hingga 44 tahun dikategorikan sebagai golongan paling ramai diisytiharkan muflis iaitu seramai 13,073 orang berdasarkan statistik dari 2019 hingga 2023, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman.

Azalina mendedahkan perkara itu ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Jelas beliau, dalam tempoh sama juga, seramai 5,297 individu berusia 55 tahun ke atas diisytiharkan muflis, manakala mereka berusia 25 tahun ke bawah melibatkan seramai 107 orang.

"Pinjaman peribadi adalah punca utama keberhutangan dalam kes kebankrapan di negara ini, iaitu sebanyak 49.22 peratus berbanding jenis pinjaman kewangan yang lain.

"Ia meliputi pinjaman bercagar atau tidak bercagar dari institusi perbankan, pinjaman peribadi daripada pemberi pinjam wang (money lender) selain dari institusi perbankan dan 'friendly loan' daripada orang perseorangan.

"Kita perlu beri penekanan kepada elemen jantina juga. Orang lelaki lebih banyak bankrap daripada perempuan.

"Dari 2019 hingga 2023, lelaki yang bankrap, 25,104 orang, manakala perempuan, 8,912 orang," katanya ketika sesi penggulungan tersebut, hari ini.

Dalam masa sama, Azalina turut bersetuju dengan ucapan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sesi perbahasan bahawa orang Melayu paling ramai diisytiharkan bankrap.

"Apa yang Ahli Parlimen Pagoh katakan tadi bahawa orang Melayu ramai yang bankrap, memang betul. Pada 2019 hingga 2023, jumlah orang Melayu yang bankrap adalah 19,791 orang," ujar beliau.

Azalina menambah, setakat 30 April lalu, Jabatan Insolvensi telah melepaskan 4,228 kes bankrap dalam skala kecil melalui sijil Ketua Pengarah Insolvensi.

RUU Insolvensi (Pindaan) 2023 yang dibahaskan oleh 18 Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang turut diluluskan oleh Dewan Rakyat dengan lebih suara bersetuju.