PUTRAJAYA: Individu yang positif COVID-19 kini boleh dilepaskan daripada pengasingan seawal hari keempat tempoh kuarantin, sekiranya disahkan negatif melalui ujian RTK-Antigen yang diselia pengamal perubatan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, bagaimanapun sekiranya masih positif, maka individu tersebut perlu terus melengkapkan tempoh pengasingan sehingga tujuh hari.

Jelas Ahli Parlimen Rembau itu lagi, ujian tersebut hendaklah dilakukan menggunakan RTK-antigen kendiri dengan penyeliaan oleh pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), sama ada secara fizikal ataupun secara maya (virtual).

“Keputusan ujian tersebut hendaklah dimasukkan ke dalam sistem eCOVID oleh pengamal perubatan bagi memastikan integrasi data dengan aplikasi MySejahtera dapat berlaku dalam tempoh kurang daripada satu jam, agar individu tersebut segera mendapat perintah pelepasan daripada pengasingan apabila keputusan ujian pengesanan tersebut negatif COVID-19,” kata Khairy.

Tambahnya lagi, sekiranya individu tidak memilih untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19, maka pelepasan akan diberikan secara automatik setelah menjalani pengasingan selama tujuh (7) hari.

Bagaimanapun, Khairy berkata, kesemua ini berkuatkuasa pada 1 Mei hadapan.

Positif COVID-19 perlu jalani pengasingan 7 hari, boleh lepas jika...

BACA: Bermula 1 Mei, pelitup muka di luar bangunan, kawasan terbuka tidak lagi wajib - Khairy

Khairy berkata demikian demikian ketika mengumumkan pelaksanaan protokol baharu, susulan keadaan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam, termasuk program vaksinasi COVID-19 dalam menguruskan penularan jangkitan COVID-19 dalam negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, kemasukan individu ke mana-mana premis adalah dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi mereka.

Individu yang tidak dibenarkan masuk ke premis, jelasnya lagi, adalah individu positif COVID-19 walaupun mempunyai status vaksinasi lengkap, dan Individu dalam tempoh HSO termasuk pengembara tanpa vaksinasi lengkap yang baru tiba di Malaysia.

Khairy turut mengumumkan pembatalan keperluan pengujian pengesanan COVID-19 sebelum berlepas ke Malaysia dan pengujian COVID-19 semasa ketibaan bagi kumpulan pengembara tertentu.

Kumpulan pengembara yang terlibat ialah pengembara berusia 13 tahun dan ke atas yang telah lengkap vaksinasi; pengembara yang mempunyai sejarah jangkitan COVID-19 dalam tempoh 6 ke 60 hari dari tarikh sembuh sebelum berlepas ke Malaysia; dan pengembara berusia 12 tahun dan ke bawah tanpa mengira status vaksinasi.

Khairy berkata, pengembara tidak lengkap vaksin, perlu membuat ujian pra-pelepasan dua hari sebelum berlepas ke Malaysia; melakukan ujian pengesanan COVID-19 dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan; menjalani kuarantin wajib selama lima hari; dan menjalani RT-PCR pada hari keempat, atau RTK-Antigen pada hari kelima

“Pengembara yang dikesan bergejala semasa berada di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Negara akan diarahkan menjalani ujian saringan COVID-19 menggunakan RTK antigen (Ag) profesional. 

“Polisi yang sama akan diguna pakai bagi semua kategori pengembara termasuk Umrah, Haji dan pekerja asing. Bagi pengembara Umrah dan Haji, mereka dikehendaki mendapatkan vaksinasi dos penggalak sebelum berlepas ke Tanah Suci,” katanya lagi.