KUALA LUMPUR: Industri insurans am menyokong pendigitalan cukai jalan dan lesen memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan percaya inisiatif itu akan menghasilkan penguatkuasaan yang lebih cekap oleh pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia.

Menurut Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), antara faedah utama inisiatif ini ialah mengurangkan pembaziran kertas kerana pemilik kenderaan tidak perlu lagi menggunakan pelekat cukai jalan untuk tujuan paparan.

"Selain itu, pendigitalan adalah kos efektif kerana ia mengurangkan keperluan untuk penghantaran cukai jalan, sekali gus menghapuskan sebarang caj penghantaran," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada masa yang sama, ia berkata pemandu tidak perlu risau tentang mempunyai lesen fizikal kerana mereka tidak perlu lagi membawanya.

"Secara keseluruhan, inisiatif itu akan memberi manfaat kepada orang awam dan alam sekitar," kata PIAM.

Bulan lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan mulai 10 Feb 2023, pemilik kenderaan persendirian tidak perlu lagi mempamerkan pelekat cukai jalan pada cermin depan atau membawa salinan fizikal lesen memandu mereka.

Beliau berkata versi digital kedua-dua dokumen itu tersedia di portal awam JPJ (https://public.jpj.gov.my) atau aplikasi mudah alih, MyJPJ, yang boleh dimuat turun daripada Apple App Store, Google Play Store atau Huawei App Gallery.

-- BERNAMA