GEORGE TOWN: Industri pelancongan Pulau Pinang melangkah ke arah pendigitalan menerusi pelancaran 'Penang Virtual Tour Series', dalam usaha meningkatkan kedudukan negeri sekali gus menarik kehadiran ramai pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin berkata inisiatif oleh Penang Global Tourism (PGT) dan Persatuan Pemandu-pemandu Pelancong Pulau Pinang (PGTA) itu merangkumi siri video 10 episod yang menonjolkan tarikan negeri itu dengan memberikan gambaran yang jelas mengenai tarikan pelancongan.

"Ini merupakan usaha terbaharu Pulau Pinang selepas kejayaan memperkenalkan risalah The Opposite Side of the Island (Bukit Mertajam), The Other Side of The Island (Balik Pulau and Teluk Bahang), brosur Jalan-Jalan Pulau Pinang, buku kecil Panduan Pelancongan Muslim dan melancarkan kempen Penang Welcomes You.

"Pelbagai tempat dan produk pelancongan yang unik yang ditampilkan dalam video berkenaan membolehkan penonton lebih memahami apa yang ditawarkan oleh Pulau Pinang bagi pengalaman yang menyeronokkan dan tersendiri di 'Pulau Mutiara' ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran 'Penang Virtual Tour Series' berkenaan di sini malam tadi.

Menurut Yeoh, sebagai usaha menarik lebih ramai pelancong, siri video berkenaan akan memberikan penjelasan terperinci mengenai beberapa lokasi menarik di Pulau Pinang daripada pemandu pelancong PGTA dan boleh ditonton orang ramai menerusi Facebook persatuan itu.

Beliau berkata media konvensional dan media baharu digunakan bagi menguar-uar pembukaan semula sempadan antarabangsa di seluruh dunia dan menjadikan Pulau Pinang sebagai satu daripada destinasi pelancongan utama.

"Kami juga telah meningkatkan kedudukan Pulau Pinang dalam pasaran antarabangsa dengan menyegerakan penganjuran dan penyertaan pameran perdagangan dan jelajah luar negara yang membantu menghubungkan negeri dengan pasaran luar," katanya.

-- BERNAMA