Industri peranti perubatan negara catat nilai eksport cecah RM37 bilion - Dr Dzulkefly

Menurut Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sektor itu kini mampu menyumbang kira-kira RM1.8 bilion setahun kepada ekonomi negara dan menyediakan lebih 130,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Industri peranti perubatan negara terus berkembang apabila eksport produk berkenaan meningkat 31 peratus pada 2024 dengan nilai keseluruhan mencecah RM37 bilion.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sektor itu kini mampu menyumbang kira-kira RM1.8 bilion setahun kepada ekonomi negara.
Lebih membanggakan, kata beliau, industri itu berupaya menyediakan lebih 130,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Sektor ini juga berjaya menarik pelaburan domestik dan asing berjumlah RM20 bilion bagi tempoh antara 2021 hingga 2024. Di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), sektor peranti perubatan diiktiraf sebagai pemacu pertumbuhan strategik yang berupaya meningkatkan nilai pelaburan Malaysia,” katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Prapelancaran Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2026 dan Program Pembangunan Keusahawanan Sektor Peranti Perubatan (MedTechPreneur 1.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu.
Jelas beliau, program ini merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Kata Dr Dzulkelfly, objektifnya adalah bagi melahirkan generasi baharu usahawan teknologi perubatan (MedTech) yang berdaya saing di peringkat global.
“Ini sejajar dengan agenda Ekonomi MADANI, Dasar Keusahawanan Negara 2030 dan NIMP 2030 bagi memperkasa syarikat pemula serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berinovasi, berkembang serta menembusi pasaran antarabangsa,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, MedTechPrenuer 1.0 adalah pentas terbaik dalam membuka ruang kepada usahawan tempatan menceburi industri ini.
Tambah beliau, ia bukan sekadar menumpukan kepada para inovator untuk menjadi pengeluar semata-mata, tetapi juga sebagai pencipta teknologi perubatan yang sekali gus memacu ekonomi berpendapatan tinggi.
“Program ini akan melahirkan lebih ramai usahawan dalam sektor peranti perubatan dan membuka ruang kepada PKS untuk meningkatkan kapasiti, teknologi dan akses pasaran,” ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami