PETALING JAYA: Industri perbankan melancarkan Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan (NSAC) bersempena dengan pameran Bulan Literasi Kewangan 2022 (FLM2022) sebagai kesinambungan usaha industri untuk memerangi dan mendidik pengguna berkaitan penipuan.

Kempen itu yang disokong oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dilancarkan secara bersama oleh Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi-Institusi Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM).

Timbalan Gabenor BNM Datuk Marzunisham Omar berkata semasa kempen berlangsung orang ramai akan dapat melihat lebih banyak iklan kesedaran, mesej dan bantu ingat di saluran bank sendiri masing-masing serta media sosial dan arus perdana.

"Saya difahamkan juga akan ada program capaian komuniti untuk mendidik orang ramai," katanya pada majlis pelancaran NSAC di IPC Shopping Centre, di sini, hari ini.

Marzunisham berkata keutamaan BNM ialah memastikan saluran perbankan dan pembayaran kekal selamat dan terkawal.

"Nasihat keselamatan baharu dan langkah keselamatan tambahan yang perlu diambil oleh bank akan dikeluarkan dari semasa ke semasa memandangkan taktik yang digunakan penjenayah sentiasa berubah-ubah," katanya.

Mengenai lima langkah diumumkan BNM pada 26 September lalu untuk mengukuhkan lagi kawalan dan perlindungan bank terhadap penipuan kewangan, beliau berkata, bank-bank memberikan komitmen jitu mereka dan membuat kemajuan dalam melaksanakan langkah-langkah tersebut.

"Sebagai contoh, bank mempercepatkan peralihan daripada penggunaan kata laluan sekali saja (OTP) yang berasaskan SMS kepada bentuk pengesahan yang lebih selamat semasa melakukan transaksi dalam talian seperti melalui aplikasi perbankan mudah alih perbankan dan token perkakasan," katanya.

Marzunisham juga menasihati orang ramai agar lebih kerap menyemak laman Amaran Scam Facebook oleh BNM, serta Cyber Crime Alert dan Semak Mule oleh Polis Diraja Malaysia, bagi maklumat terkini.

Sebagai sebahagian daripada NSAC yang dilancarkan hari ini, industri perbankan telah mencipta logo untuk membantu orang ramai mengingat tiga langkah mudah - juga dikenali sebagai peraturan tiga saat - iaitu "Stop, Think and Block" (Awas, Fikir, Blok) apabila menerima panggilan, mesej atau -e-mel daripada pihak yang tidak dikenali.

Menggunakan cogan kata "Ingat 3 Saat OK" dan tanda pagar #JanganKenaScam, industri perbankan menggesa orang ramai untuk mengingati peraturan tiga saat itu agar kekal selamat dan tidak menjadi mangsa penipuan.

Kempen NSAC itu yang akan dimulakan pada November, merupakan kesinambungan usaha industri perbankan untuk memerangi penipuan serta mendidik pengguna mengenai penipuan sambil berkongsi petua mudah untuk kekal selamat dalam talian.

Kempen tersebut juga melengkapkan lima langkah pencegahan tambahan yang diumumkan oleh BNM itu.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Pengerusi ABM Datuk Khairussaleh Ramli, Presiden AIBIM Mohd Muazzam Mohamed dan Naib Pengerusi ADFIM Jay Khairil Jeremy Abdullah.

Senarai nombor bank anggota ABM untuk dihubungi bagi melaporkan penipuan boleh diperoleh daripada laman web ABM di https://www.abm.org.my/directory.

-- BERNAMA