KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengenal pasti pempengaruh atau influencer di media sosial serta individu yang gemar menayang wang tunai dan kemewahan bagi memastikan mereka tidak lari daripada membayar cukai.
Pengarah Jabatan Pematuhan Cukai LHDN, Abang Ehsan Abang Abu Bakar berkata, pemantauan dilakukan setiap hari menerusi semua platform media sosial dan e-dagang.
Menurutnya, LHDN menerusi unit khas yang ditubuhkan iaitu Seksyen Audit Ekonomi Digital (SAED) berperanan khusus bagi memantau aktiviti pempengaruh dan usahawan digital yang hidup mewah tetapi tidak membayar cukai.
“Ada yang kita kesan mereka ini gemar menayang kehidupan mewah seperti wang dan sebagainya.
“Biar pun tidak menjadi satu kesalahan, namun pemantauan sememangnya dijalankan bagi memastikan mereka menunaikan tanggungjawab membayar cukai,” katanya kepada Sinar Harian menerusi temu bual khas di Ibu Pejabat LHDN di Cyberjaya, baru-baru ini.
Abang Ehsan berkata, pihaknya sentiasa menjalankan aktiviti pematuhan berteraskan konsep Awareness, Education and Services (AES).
Jelas Abang Ehsan, aktiviti pematuhan yang dijalankan itu berdasarkan tahap penilaian risiko yang bersesuaian berasaskan daripada pelbagai sumber termasuk aduan awam.
“Pempengaruh yang terpilih bagi semakan pematuhan perlu mengemukakan bukti berkaitan aktiviti perniagaan mereka kepada LHDN semasa semakan pematuhan dijalankan,” katanya.
Beliau memberitahu, tugas ini dilaksanakan SAED di ruangan komen media sosial milik pempengaruh dan usahawan digital yang telah dikenal pasti.
Ujarnya, tindakan itu bertujuan mempengaruhi gelagat pempengaruh media sosial dalam membuat keputusan untuk patuh kepada undang-undang percukaian.
“Secara langsung ia dapat memberi kesedaran kepada pembayar cukai selari dengan pendekatan AES,” katanya.
Tambah beliau, LHDN turut berdepan cabaran dalam melaksanakan kaedah pemantauan menerusi media sosial ini.
“Perkembangan aktiviti pempengaruh di platform media sosial yang sentiasa bertambah dan perubahan model perniagaan atas talian yang pantas dari semasa ke semasa merupakan antara cabaran dalam memantau aktiviti pempengaruh media sosial.
“Segala bentuk dakwaan dan informasi yang berfakta atau bersifat tidak pasti sentiasa dalam pemantauan pihak LHDN,” katanya.
Beliau berkata, aktiviti pematuhan boleh dijalankan kepada sesiapa sahaja yang berisiko tidak patuh cukai.
“Pendekatan AES kini dijadikan elemen utama dalam budaya kerja LHDN dalam memastikan golongan pembayar cukai melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.
LHDN turut menjalankan aktiviti pematuhan berdasarkan tahap penilaian risiko yang bersesuaian berasaskan daripada pelbagai sumber.
"Selain itu, LHDN mengadakan sesi libat urus bersama pempengaruh dan ia dijalankan secara santai sekali gus mampu menyebar luas mesej percukaian kepada golongan pempengaruh media sosial seterusnya kepada pengikut-pengikut mereka di media sosial," ujarnya.
Tidak ganggu punca pendapatan
Jelas Abang Ehsan, semakan sentiasa dijalankan bagi memastikan pendapatan dan cukai yang sepatutnya dilaporkan dikira serta dibayar adalah mengikut undang-undang dan peraturan percukaian.
“Seharusnya golongan yang perlu membayar cukai ini tidak perlu gusar atau takut dengan apa yang dilaksanakan oleh LHDN.
“Soal cukai adalah tanggungjawab kepada negara, sekiranya kita mempunyai syarat cukup yang mana meletakkan diri kita perlu membayar cukai maka ia perlu dilaksanakan demi negara.
“Tiada sebarang unsur yang menunjukkan LHDN ini mengganggu punca pendapatan atau sebagainya,” tegas beliau.
Beliau memberitahu, pengesahan maklumat berhubung sumber kewangan pembayar cukai dijalankan semasa proses semakan pematuhan.
Ujarnya, pembayar cukai perlu menyimpan rekod yang mencukupi dan lengkap bagi membolehkan pendapatan atau kerugian daripada aktiviti perniagaan berkenaan dapat ditentukan.
“LHDN akan memastikan semua maklumat yang diperolehi daripada pembayar cukai sama ada melalui temuduga, perbincangan, surat menyurat atau semakan rekod dan dokumen adalah rahsia dan hanya digunakan bagi tujuan cukai pendapatan sahaja,“ katanya.
Abang Ehsan berkata, apa yang dilaksanakan LHDN merupakan satu pendekatan untuk memberi pendidikan serta pendedahan kepada pembayar cukai.
“LHDN tidak semberono dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dan apa yang kami mahukan adalah para pembayar cukai tahu dan sedar akan tanggungjawab mereka.
“Secara tidak langsung perkara ini merupakan satu kewajipan kepada para pembayar cukai mengikut peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP),” katanya.
Laksana PKPS 2.0
Abang Ehsan berkata, pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela 2.0 (PKPS 2.0) merupakan inisiatif disediakan untuk mereka yang belum lagi membayar cukai.
Menurut beliau, program berkenaan bukan sekadar khusus untuk golongan pempengaruh sahaja malahan ia dibuka kepada semua rakyat Malaysia.
“Antara keistimewaan yang ditawarkan menerusi program ini adalah menawarkan penalti pada kadar kosong peratus dan pengakuan diterima secara suci hati,” katanya.
Jelas beliau, selain daripada itu pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri (STS) adalah program yang diadakan bagi meningkatkan pematuhan cukai secara sukarela.
“Mana-mana individu boleh dipilih bagi semakan pematuhan pada bila-bila masa.
“Bagaimanapun, sekiranya pembayar cukai telah dipilih untuk semakan pematuhan ini tidak bermaksud individu tersebut telah melakukan kesalahan,” katanya.
Beliau menjelaskan, pendapatan yang diterima dan tidak dilaporkan oleh pempengaruh media sosial atau mana-mana individu boleh mengakibatkan ketirisan cukai dan kehilangan hasil pendapatan negara.
“Cukai merupakan antara sumber negara yang penting untuk manfaat kepada semua golongan di negara ini.
“Sekiranya perkara ini dipandang enteng, ia akan menjejaskan pembangunan dan kemakmuran negara,” katanya.
Beliau berkata, LHDN sentiasa melaksanakan amanah diberi ini secara adil, telus dan saksama.
“Kecekapan dalam melaksanakan kutipan cukai dapat mempertingkatkan kepercayaan orang awam terhadap sistem percukaian yang berkuat kuasa.
“Soal pematuhan terhadap undang-undang percukaian sentiasa dikuatkuasakan oleh LHDN dengan tegas dan kesalahan percukaian seperti ketidakpatuhan dan pengelakan cukai hendaklah diambil tindakan mengikut peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya.
Pempengaruh terkejut niaga online kena cukai
Sementara itu, seorang pempengaruh media sosial meluahkan rasa kesal selepas mengambil ringan mengenai pembayaran cukai pendapatan.
Hanya mahu dikenali sebagai Zaidi, dia mendedahkan tidak membayar cukai pendapatan berjumlah lebih RM40,000 menerusi pendapatan yang diperoleh daripada jualan dalam talian di media sosial.Zaidi berkata, dia pada awalnya menyangka cukai dikenakan hanya kepada mereka yang mempunyai pendapatan tetap sahaja.
“Saya peroleh pendapatan agak banyak, namun kadarnya berubah-ubah mengikut jualan, adakala lebih dan kadang kala kurang.
“Saya sangka apa yang saya terima itu tidak dikenakan cukai dan pada masa sama saya tidak ambil tahu sangat berkaitan percukaian ini,” katanya.
Tambah Zaidi, dia kemudian menerima surat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memintanya supaya tampil ke pejabat agensi itu.
“Saya sangka ia sekadar satu pertemuan biasa, namun bila tiba di pejabat LHDN, saya ditunjukkan dengan puluhan fail yang memaparkan berkaitan jualan saya di media sosial.
“Rupanya segala aktiviti saya di media sosial dipantau, saya juga disoal berkaitan pendapatan yang saya terima, bagaimanapun ketika itu suasana berlangsung baik,” katanya.
Menurutnya, dia juga diberikan penerangan berkaitan percukaian dan kesalahan yang dilakukan.
“Ketika itu saya sedar bahawa tindakan saya memandang remeh soal cukai pendapatan ini memakan diri selepas siasatan LHDN mendapati saya tidak membayar cukai sebanyak RM40,000, satu jumlah yang besar dan saya perlu menyelesaikannya dalam tempoh sebulan,” katanya.
Zaidi berkata, dia menyesal kerana disebabkan sikap tidak acuhnya itu, dirinya terpaksa menempuh pelbagai kesukaran.
“Saya sedar semua terjadi itu disebabkan kesalahan sendiri, namun saya nak ucapkan terima kasih kepada pegawai LHDN yang berusaha memudahkan urusan saya,” katanya. - Sinar Harian
Sinar Harian
Sat Nov 25 2023
Pemantauan sentiasa dijalankan menerusi semua medium termasuk platform media sosial dan e-dagang setiap hari. - Gambar hiasan
NATO tetap komited elak pertembungan langsung dengan Rusia berhubung Ukraine
Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tetap komited untuk mengelakkan pertembungan langsung dengan Rusia berhubung Ukraine dan ini kekal sebagai matlamat utama.
Grid bekalan elektrik Sabah berdepan kekurangan rizab penjanaan - SESB
Grid bekalan elektrik Sabah berdepan kekurangan rizab penjanaan berikutan penyelenggaraan sedang dilakukan di Stesen Janakuasa Rugading, bermula Sabtu (25 Mei) hingga 2 Jun ini.
Jumlah pendaratan penyu di negara ini meningkat - DOF
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) merekodkan jumlah pendaratan penyu di perairan negara ini meningkat sebanyak 11.17 peratus pada tahun lepas.
SQ321: Ahli keluarga masih dalam kesakitan, tidak dapat lelapkan mata
"Ahli keluarga saya masih dalam kesakitan, dan ada yang masih tidak dapat melelapkan mata di malam hari," kata seorang rakyat Malaysia, Eva Khoo.
Kecederaan pemain: Pan Gon belum mahu tekan butang panik
Menurut Pan Gon, beliau tidak mahu terlalu memikirkan perkara tersebut sebaliknya ingin lebih fokus kepada pemilihan pemain lain.
Johor rancang buka 10 lagi pusat data
Johor merancang untuk membuka 10 lagi pusat data di negeri berkenaan bagi menarik pelabur luar sekali gus meningkatkan pertumbuhan kadar ekonomi serta peluang pekerjaan.
Pulau Pinang dicadang wujud Jawatankuasa Khas bincang hal ehwal agama Islam
Muhammad Fauzi berkata, ia penting kerana menyedari sensitiviti yang berkaitan dalam menangani isu-isu berkaitan hal ehwal Islam dan Melayu.
Lenovo umum enjin baharu dikuasakan AI bagi bantu perniagaan kurangkan jejak IT
Ia bagi memperkasakan perniagaan dalam membantu membuat lebih banyak keputusan yang dipacu data dan mampan untuk pembelian teknologi maklumat (IT).
Pesara komando labur hampir ratusan ribu kumpul barang lama
Bermula dengan sebilah keris lama, seorang pesara komando Mansor Mohd, 74, dari Kampung Rhu Renggeh di Marang mula berjinak-jinak mengumpul barang antik sebagai koleksi peribadi.
IHR, perjanjian pandemik: Malaysia berpegang kepada prinsip kesaksamaan dan solidariti - PM
Malaysia berpegang kepada prinsip kesaksamaan dan solidariti untuk dilaksanakan dalam semakan Peraturan-Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) serta perjanjian pandemik.
Pelaksanaan e-Invois untuk PMKS adalah 1 Julai 2025 - LHDN
Pelaksanaan e-Invois bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) akan bermula pada 1 Julai 2025 dan bukannya pada 1 Ogos ini, demikian menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Sistem e-Invois: LHDN jawab dakwaan Ka Siong
Dalam tempoh setahun sebelum pelaksanaan penuh e-Invois, LHDN akan adakan program dan sesi libat urus bagi tujuan kesedaran dan pendidikan.
TNB tidak perlu bayar cukai tambahan RM1.8 bilion, Mahkamah Rayuan kekal keputusan Mahkamah Tinggi
Panel setuju, TNB sebagai syarikat utiliti elektrik dikenali dan jumlah yang diminta terdiri daripada RA yang sepatutnya dikecualikan.
LHDN wujud 'Peranan Peguam' di portal MyTax
Ciri itu diwujudkan selaras dengan Seksyen 57A(3) Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah (ACKHT) 1976.
Gagal kemuka borang penyata pendapatan syarikat, pengarah didenda RM12,000
Seorang pengarah syarikat didenda RM12,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal mengemukakan borang penyata pendapatan syarikat.
Tunggakan cukai: Dua ahli politik Melaka antara yang disekat ke luar negara
Dua ahli politik di Melaka antara 10 individu yang pernah disekat ke luar negara kerana gagal melunaskan tunggakan cukai melibatkan jumlah puluhan ribu ringgit.
LHDN pergiat ‘buru’ syarikat, individu culas bayar cukai
Ujar beliau, LHDN sentiasa memantau data-data sedia ada untuk tindakan sewajarnya.
Tarikh akhir pengemukaan Borang E dan CP8D dilanjutkan hingga 31 Mei
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini memaklumkan tarikh akhir pengemukaan Borang E dan C.P.8D dilanjutkan hingga 31 Mei ini.
Tarikh akhir pengemukaan e-Borang Tahun Taksiran 2023 dilanjutkan ke 15 Mei
Ia meliputi pembayar cukai kategori Individu Pemastautin dan Individu Bukan Pemastautin.
LHDN umum penutupan operasi selama dua hari semasa Aidilfitri
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) hari ini memaklumkan semua pejabat agensi itu di seluruh negara akan ditutup selama dua hari iaitu pada hari Rabu dan Khamis ini.