Penularan influenza sejak minggu lepas menyaksikan ramai pelajar dilaporkan dijangkiti virus tersebut dan terbaru Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (Semesti) di Perak ditutup hari ini.

Pengarah Pendidikan Negeri Perak Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata penutupan sekolah itu berikutan 10 pelajar asramanya dijangkiti Influenza A sejak Sabtu lepas, sekali gus menjejaskan sesi pembelajaran 570 pelajar lain di sekolah itu.

Katanya, keseluruhan pelajar yang dijangkiti influenza termasuk Influenza A di Perak bagi tempoh 9 Jan hingga 12 Jan adalah seramai 28 orang melibatkan empat daerah.

"Seramai 11 orang dari daerah Bagan Datuk termasuk 10 di Semesti; Kinta (lapan); Larut Matang dan Selama (lima) serta Manjung (empat) dan semua pelajar yang dijangkiti itu kini dikuarantin di rumah masing-masing sehingga mereka kembali sihat dan atas nasihat doktor," katanya kepada Bernama.

Influenza merupakan jangkitan virus dengan gejala utama seperti demam selesema, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim itu hanya menyebabkan demam selesema ringan kepada orang biasa tetapi boleh mengakibatkan jangkitan yang teruk terhadap kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

Di JOHOR BAHRU, kes seorang murid perempuan tahun satu yang tular di media sosial dikatakan kritikal dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, akibat penyakit influenza, disahkan dijangkiti penyakit itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Johor Aminolhuda Hassan berkata bagaimanapun, terdapat komplikasi lain yang menyebabkan kanak-kanak itu perlu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA dan dipantau rapi oleh pakar perubatan.

"Itu memang disahkan influenza tetapi dia ada melibatkan pelbagai masalah lain pada pesakit berkenaan, bukan influenza itu sahaja," katanya kepada pemberita di Jabatan Kesihatan Negeri Johor, di sini hari ini.

Sementara itu, Aminolhuda berkata keadaan influenza di negeri ini sangat terkawal yang masih boleh ditangani pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor malah bekalan ubatan khususnya antiviral influenza juga mencukupi.

Beliau berkata 89 murid prasekolah sehingga Tingkatan Empat yang dilaporkan disyaki dijangkiti influenza pula hanya dirawat sebagai pesakit luar dan diminta berehat di rumah masing-masing.

Di PAHANG, Pengarah Pendidikan Datuk Dr Tajuddin Mohd Yunus berkata seramai 10 murid dari 10 sekolah rendah negeri ini disahkan dijangkiti influenza sejak 7 Jan lepas namun tiada sekolah atau kelas yang ditutup kecuali murid terlibat diarah kuarantin.

Beliau berkata daerah Kuantan mencatat jumlah mangsa paling ramai dengan lima kes diikuti Cameron Highlands dengan dua kes dan masing-masing satu kes di Jerantut, Bentong dan Raub.

Katanya, lima murid yang disahkan dijangkiti itu juga telah dibenarkan pulang dari hospital dengan tiga masih dirawat di hospital manakala dua lagi dikurantin di rumah.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang Datuk Dr Bahari Awang Ngah pula berkata ketika ini masih terdapat 180 dos vaksin influenza A di tiga hospital iaitu di hospital daerah Kuantan, Bentong dan Temerloh.