Skip to main content

Dunia

Polis Belanda tahan hingga 200 penunjuk perasaan di tapak pusat data Microsoft

Beberapa individu yang ditahan didapati memiliki barangan yang disyaki dicuri dari tapak berkenaan, manakala yang lain disyaki melakukan kerosakan harta benda. - AP
Beberapa individu yang ditahan didapati memiliki barangan yang disyaki dicuri dari tapak berkenaan, manakala yang lain disyaki melakukan kerosakan harta benda. - AP
Advertisement

AMSTERDAM: Polis Belanda memaklumkan bahawa antara 150 hingga 200 penunjuk perasaan ditahan kerana menceroboh selepas ratusan individu memasuki tapak pembinaan pusat data Microsoft di Amsterdam bagi membantah projek berkenaan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Polis berkata beberapa individu yang ditahan didapati memiliki barangan yang disyaki dicuri dari tapak berkenaan, manakala yang lain disyaki melakukan kerosakan harta benda.

Semua individu yang ditahan dijadual disoal siasat.

Advertisement

Menurut penyiar Belanda, NOS, penunjuk perasaan daripada dua kumpulan berkumpul di lokasi berkenaan.

Kumpulan kempen iklim dan masyarakat Fossielvrij NL merancang untuk mengadakan demonstrasi di luar tapak itu bagi membantah penggunaan tenaga yang sangat tinggi oleh pusat data.

Advertisement

Bagaimanapun, aktivis daripada kumpulan Geef Tegengas cuba merobohkan pagar menggunakan peralatan bagi memasuki tapak berkenaan, lapor NOS.

Kumpulan itu menggunakan kaedah menyekat infrastruktur, pelabuhan dan tapak pembinaan dalam kempen menentang bahan api fosil, kapitalisme, peluasan ketenteraan serta projek teknologi berskala besar.

Polis berkata mereka pada mulanya mengarahkan penunjuk perasaan menyerahkan peralatan masing-masing sebelum membenarkan mereka memasuki kawasan demonstrasi yang ditetapkan.

Namun begitu, beberapa penunjuk perasaan kemudiannya bertindak memasuki tapak pembinaan secara paksa.

Rakaman televisyen yang disiarkan NOS menunjukkan polis antirusuhan menggunakan belantan ketika bertindak terhadap penunjuk perasaan.

Geef Tegengas menyifatkan tindakan menduduki tapak berkenaan sebagai demonstrasi besar-besaran pertama di Eropah yang membantah pembinaan pusat data berskala besar.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement