Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Anwar minta Peguam Negara menghadap Agong, perjelas penangguhan tahanan rumah Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap ketika sidang media pada Majlis Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC) hari ini.  - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap ketika sidang media pada Majlis Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC) hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta Peguam Negara menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memohon ampun dan menjelaskan penangguhan tahanan di rumah Najib Razak.
  • Kerajaan mengiktiraf bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan menyerahkan urusan perundangan kepada Peguam Negara untuk penelitian serta rujukan kehakiman.
  • Penangguhan pelaksanaan tahanan di rumah dibuat susulan persoalan perundangan berkaitan Perintah Pengampunan Bersyarat dan kesan perintah mahkamah terhadap Najib.
Advertisement

SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi memohon ampun dan menjelaskan keputusan menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, kerajaan mengiktiraf bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan segala persiapan bagi memenuhi titah berkenaan perlu dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, Jabatan Peguam Negara (AGC) berdepan kekangan perundangan berikutan persoalan mengenai kaitan Perintah Pengampunan Bersyarat bagi kes SRC International Sdn Bhd dengan satu lagi kes membabitkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Advertisement

"Yang di-Pertuan Agong sudah membuat keputusan dan kita sebagai rakyat yang memahami Perlembagaan perlu taat.

"Jadi, langkah seterusnya saya minta Peguam Negara segera menghadap Yang di-Pertuan Agong, memohon ampun dan menjelaskan mengapa keputusan itu diterima bagi kes SRC, tetapi terdapat masalah kerana ia turut membabitkan kes kedua iaitu 1MDB," katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan November Bulan Keluarga, pada Sabtu.

Advertisement

Beliau berkata, perkara itu mungkin memerlukan beberapa hari untuk dimuktamadkan selepas penelitian dan rujukan dibuat kepada badan kehakiman.

Anwar berkata, urusan memperincikan kedudukan perundangan berkenaan diserahkan kepada Peguam Negara kerana ia bukan bidang kuasa beliau sebagai Perdana Menteri.

"Saya serahkan kepada Peguam Negara untuk memperincikan perkara ini. Ini bukan bidang kuasa saya dan saya mahu mengelakkan ia menjadi isu politik.

"Saya mahu jelaskan bahawa kuasa Yang di-Pertuan Agong tidak dipertikaikan," katanya.

Terdahulu, AGC memutuskan untuk menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib bagi mendapatkan penelitian dan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan perintah mahkamah berkaitan.

Dalam kenyataannya, AGC memaklumkan penangguhan itu dibuat susulan persoalan perundangan berhubung pelaksanaan baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International Sdn Bhd selepas beliau membayar denda RM50 juta.

 

Must Watch Video

Advertisement