Ringkasan AI
- Ketua jurulatih B-16 negara, Muhammad Shukor Adan, mahu pasukan meraih tiga mata penuh menentang Palestin dalam aksi pembukaan Kumpulan E esok.
- Shukor menegaskan kemenangan penting untuk membina momentum, sementara semua pemain berada dalam keadaan baik tanpa kecederaan.
- Hanya juara setiap kumpulan kelayakan akan mara ke pusingan akhir Piala Asia B-17 di Uzbekistan pada Mei tahun depan.
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bola sepak bawah 16 tahun (B-16) negara Muhammad Shukor Adan mahu anak buahnya meraih tiga mata penuh pada perlawanan pembukaan kempen kelayakan Piala Asia B-17 menentang Palestin dalam aksi Kumpulan E, esok.
Shukor berkata kemenangan pada perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, amat penting bagi memastikan skuad negara memulakan kempen dengan langkah kanan, sekali gus membina momentum positif menjelang perlawanan seterusnya.
“Perlawanan-perlawanan lain bagi saya juga penting, tapi perlawanan pertama lagi penting dan diharap pemain dapat menterjemahkan aksi mereka di dalam padang malam esok.
“Saya yakin pemain-pemain akan faham dengan situasi dalam pusingan kelayakan nanti, mereka akan bagi yang terbaik perlawanan malam esok dan pastikan tiga mata," katanya pada sidang media praperlawanan menentang Palestin di sini hari ini.
Mengulas cabaran Palestin, bekas pemain kebangsaan itu mengakui pasukan bimbingan Mohammed Sharbaji memiliki kelebihan dari segi fizikal dan kekuatan mental, sekali gus menuntut skuad negara lebih berwaspada ketika berdepan lawan nanti.
Shukor berkata persiapan pasukan berjalan lancar sepanjang tempoh latihan dengan semua pemain berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan kepadanya untuk merencana taktikal terbaik.
Sementara itu, ketua pasukan Adam Muqri Muhaizam berkata skuad negara sudah bersedia sepenuhnya dengan sasaran jelas untuk merebut tiket ke pusingan akhir kejohanan berkenaan.
“Saya rasa pasukan ini sudah sedia sepenuhnya dan setiap pemain sedia memberikan tentangan sengit menentang Palestin,” katanya.
Menjelang aksi pembukaan esok, Mohammed Sharbaji mengakui keupayaan skuad Malaysia yang bekerja keras serta mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam beberapa perlawanan terakhir.
Walaupun menyedari cabaran bakal diberikan Malaysia, beliau berkata anak buahnya tetap yakin dengan kemampuan sendiri dan bertekad untuk merebut tempat ke pusingan akhir kejohanan itu.
Hanya juara setiap kumpulan pada peringkat kelayakan akan mara ke pusingan akhir Piala Asia B-17 yang dijadual berlangsung di Uzbekistan dari 12 hingga 29 Mei tahun depan.
-- BERNAMA