Semua pihak diharap akur dengan arahan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa hari ini hingga 31 Mac ini kerana keingkaran larangan merupakan kesalahan jenayah dan moral, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata mengikut Seksyen 11(4) dibaca bersama Seksyen 24(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, hukuman bagi kesalahan tersebut ialah penjara hingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

"Perintah tersebut demi menjaga kemaslahatan rakyat serta kepentingan semua berdasarkan keadaan semasa, di mana bilangan suspek serta mangsa COVID-19 yang semakin meningkat serta terbaharu, melibatkan kes yang meragut dua nyawa," katanya, dalam kenyataan di laman Facebook rasminya, pada Rabu.

Justeru, beliau meminta rakyat supaya tidak menganjur malah perlu menangguhkan sebarang perhimpunan sosial yang dirancang demi kesejahteraan negara sehingga keadaan diisytihar selamat.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan tersebut di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

BACA: COVID-19: Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac - PM

BACA: Perintah Kawalan Pergerakan digazet, hukuman 6 bulan penjara, tambahan sektor penting

BACA: [INFOGRAFIK] Soalan-soalan lazim mengenai Perintah Kawalan Pergerakan

Sebanyak 120 kes positif baharu dilaporkan setakat semalam, menjadikan jumlah kumulatif di Malaysia meningkat kepada 673 kes.- BERNAMA