KUALA LUMPUR:Seramai 131 individu ditahan kerana melakukan kesalahan tidak memakai pelitup muka ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Isnin.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjelaskan 311 individu daripada 329 individu yang ditahan telah dikompaun manakala lima individu pula direman.

"Daripada jumlah itu 13 individu dijamin. Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (131), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (59), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (50), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (38) dan lain-lain (51)," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu katanya, Operasi Benteng telah berjaya menahan 88 pendatang asing tanpa izin (PATI), lima tekong serta merampas 13 kenderaan darat.

Jelasnya, sebanyak 261 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan.

Tambahnya, seramai 73,713 individu telah pulang ke tanah air ditempatkan di 76 Hotel dan 18 Institut Latihan Awam (ILA).

"Daripada jumlah itu, seramai 10,152 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 405 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Seramai 63,156 individu telah dibenarkan pulang. Mereka telah pulang dari 36 negara antaranya Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura dan Vietnam," katanya.

Dalam pada itu ujarnya, penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat 652 pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan termasuk peruncit (458), pemborong (161) dan pengilang (33).

KPDNHEP juga telah melakukan 895 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP.