MELAKA: Ketiadaan rundingan rasmi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) setakat ini tidak menjejaskan kesiapsiagaan PH untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka Adam Adli Abdul Halim.
Beliau berkata setiap parti mempunyai hak untuk menentukan bentuk kerjasama yang akan dijalin menjelang pilihan raya, namun PH sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bertanding di semua kerusi yang ditandingi sebelum ini.
“Memang kena sentiasa bersedia sebab rundingan atau tak rundingan itu pilihan masing-masing. Setiap parti ada hak untuk buat keputusan.
“Kalau kita bersaing di semua kerusi yang ditandingi pun tidak jadi isu kerana kita memang sebelum ini pun macam itu juga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Kampung Angkat MADANI di Dewan Terbuka Arena Ara Permai, Kampung Sungai Putat di sini hari ini.
Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata berkata persaingan politik menjelang PRN Melaka bagaimanapun tidak seharusnya menjejaskan hubungan dan keharmonian masyarakat di negeri itu.
Katanya sepanjang lebih tiga tahun pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PH telah memberikan kerjasama yang baik kepada kerajaan negeri.
Mengulas pendekatan PH menghadapi PRN berkenaan, Adam Adli berkata parti itu mahu mengetengahkan politik yang lebih disenangi masyarakat dan tidak lagi terikat dengan sentimen lama yang menggambarkan parti tertentu tidak mampu bekerjasama atau mewakili kepentingan masyarakat secara keseluruhan.
Beliau berkata lebih penting dalam persaingan politik itu adalah memastikan rakyat terus mendapat manfaat.
“Terpulang kepada rakyat dalam membuat pilihan dan kita sedia untuk berhadapan dengan pilihan raya negeri akan datang dengan semangat yang baharu,” katanya.
-- BERNAMA