Skip to main content

Malaysia

Penggubalan akta baharu ganti AUKU dibincang dengan semua pihak berkepentingan - Zambry

Zambry kadir di PAU
Zambry berkata beberapa siri pertemuan telah diadakan dengan wakil daripada golongan akademik dan pentadbir universiti, manakala perbincangan dengan kumpulan lain, termasuk mahasiswa akan diteruskan dalam beberapa hari akan datang. -Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penggubalan akta baharu bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) kini dalam proses perbincangan dengan semua pihak berkaitan, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata beberapa siri pertemuan telah diadakan dengan wakil daripada golongan akademik dan pentadbir universiti, manakala perbincangan dengan kumpulan lain, termasuk mahasiswa akan diteruskan dalam beberapa hari akan datang

"Saya telah pun berjumpa dengan Majlis Perwakilan Pelajar dan saya minta juga Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan yang mewakili semua universiti, mereka juga akan mengadakan kumpulan mereka sendiri, sama ada dalam kumpulan A, kumpulan B, yang bersetuju, tidak bersetuju, supaya kita gabungkan dan lihat.

"Ini kerana saya nak supaya satu akta yang komprehensif," katanya kepada pemberita semasa melawat Laman Media bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau berkata akta baharu itu bukan sahaja perlu mengambil kira keperluan semasa, malah dirangka dengan melihat kepada cabaran masa hadapan negara.

Zambry berkata perkara itu penting memandangkan AUKU yang diperkenalkan pada 1971 merangkumi pelbagai aspek berkaitan Institusi Pengajian Tinggi, termasuk penubuhan universiti dan urus tadbir, selain perkara berkaitan mahasiswa.

Sehubungan dengan itu, perubahan dalam landskap pendidikan tinggi dan perundangan semasa perlu diambil kira dalam penggubalan akta baharu berkenaan.

"Saya sebutkan berkali-kali bahawa AUKU itu diwujudkan pada 54 tahun yang lepas. Tentunya akan ada perubahan, tentunya ada yang mengatakan bahawa ia sudah tidak sesuai," katanya.

Pada Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memansuhkan AUKU secara keseluruhan, dengan rang undang-undang (RUU) berkaitan perkara itu akan dibawa ke Parlimen tahun ini untuk kelulusan.

Anwar berkata cadangan memansuhkan akta itu bagi memberikan kebebasan dan ruang demokrasi yang lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini, selepas mengambil kira memorandum serta pandangan yang dikemukakan oleh kepimpinan mahasiswa, yang mahukan perubahan menyeluruh terhadap akta berkenaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement