KUALA LUMPUR: UMNO perlu membina kekuatan dalaman sendiri dan tidak bergantung kepada ihsan atau bantuan parti lain bagi mempersiapkan jentera menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kekuatan dalaman yang kukuh akan menjadi benteng kepada UMNO dalam menghadapi apa juga cabaran.
Beliau menegaskan tiada parti lain yang benar-benar mahu melihat UMNO kembali bangkit dan kuat, selepas kejatuhan parti Melayu itu pada 2018.
“Tak ada siapa yang nak melihat UMNO bangkit semula. Berbohonglah saya jika saya katakan ada parti lain yang nak membimbing kita untuk kita bangkit dan bangun semula.
“Jangan kita mimpi di siang hari kerana tak ada satu mata pun, tak ada satu hati pun yang nak melihat kita bangkit semula. Semuanya nak melihat kita dibenamkan ataupun ditalkinkan.
“Jangan harap kepada ihsan orang. Bina kekuatan sendiri. Jangan kita harapkan pertolongan orang, bantuan orang lain, parti lain," katanya ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Mohamad berkata pengalaman lalu seharusnya menjadi pengajaran kepada UMNO supaya tidak terlalu bergantung kepada pihak lain yang mungkin mengambil kesempatan apabila melihat parti itu berada dalam keadaan lemah.
Ujar Ahli Parlimen Rembau itu lagi, apabila UMNO mempunyai kekuatan sendiri, pihak lain tidak akan mudah mengambil kesempatan atau memperkotak-katikkan parti.
“Ada orang yang mengambil peluang, menganggap kita lemah, mengambil peluang untuk bersama-sama tetapi percayalah saudara-saudari sekalian bahawa kita pernah berpengalaman macam mana kita dikecewakan,” ujar beliau.
Beliau pada masa sama menyeru anggota parti supaya melupakan segala perbezaan dan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh UMNO, termasuk memastikan jentera pilihan raya berada dalam keadaan siap siaga.
Mohamad menambah UMNO juga perlu memanfaatkan tempoh yang ada untuk menyusun jentera pilihan raya di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi PRU16 yang boleh diadakan pada bila-bila masa.
Beliau berkata kejayaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan di Johor dan Negeri Sembilan perlu dijadikan contoh serta diterjemahkan kepada kemenangan di negeri-negeri lain.
“Kami di Negeri Sembilan dan di Johor dah lapang dada dah. Kami dah menang. Dah tubuh kerajaan. Sekarang tiba gilirannya negeri-negeri lain, pakat-pakat kena menang,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengandungi hala tuju dan kerangka yang jelas bagi mempersiapkan parti untuk kembali menerajui Putrajaya pada PRU16.